Ketahui sejarah sebenar 22 Julai 1963

BERSAMA PENDUDUK... Dr Abdul Rahman Junaidi ( tengah)
bersama penduduk Kampung Telaga Air ketika Majlis Ramah Mesra Aidilfitri
Anjuran Komuniti PPD Telaga Air.
KUCHING, Sabtu - Golongan belia dan pelajar sekolah di negeri ini perlu mengetahui sejarah sebenar berakhirnya pemerintahan penjajah British di Sarawak pada 22 Julai 1963 yang menjurus kepada pembentukan negara Malaysia pada 16 September 1963. Setiausaha Agung, Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai, Dr Abdul Rahman Junaidi berkata demikian kerana bimbang ada pihak yang mengubah sejarah 22 Julai 1963 terbabit dan menjadikannya alasan menuntut negeri ini keluar dari Malaysia.

"Jadi anak kita di bangku sekolah perlu tahu hal ini kerana ini adalah sebagai sejarah kita di negeri Sarawak yang sebelum 16 September 1963 dimana Sarawak, Sabah, Singapura dan Persekutuan Tanah Melayu bergabung membentuk sebuah negara yang dikenali sebagai Malaysia,"katanya ketika merasikan Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Anjuran Komuniti PPD Telaga Air, di Dewan Serbaguna Kampung Telaga Air, di sini, hari ini.

Dr Abdul Rahman Junaidi berkata pada 22 Julai 1963, Gabenor British terahir meletakkan jawatan dan menamatkan pentadbiran kerajaan British di Sarawak dan hari terbabit juga kepimpinan pentadbiran negeri ini telah diserahkan kepada anak tempatan yang juga Ketua Menteri pertama Sarawak, Tan Sri Kalong Ningkan. "Bagi kita di Sarawak, itu adalah sebagai satu detik permulaan kemerdekaan, kerana apabila penjajah British menyerahkan pemerintahan kepada anak tempatan, ini memudahkan mereka membentuk kabinet pertama negeri ini dalam usaha menjadikan Sarawak sebuah negeri yang merdeka," katanya.

Dr Junaidi berkata selepas itu, perbincangan telah dilakukan kepimpinan awal negeri ini dengan kepimpinan awal negeri lain seperti Sabah, Singapura, Persekutuan Tanah Melayu ke arah pembentukan sebuah negara yang dikenali sebagai Malaysia."Pada 15 September 1963 telah dilantik seorang Gabenor baharu anak tempatan pertama bagi mentadbir dan menjadi pemimpin utama Sarawak iaitu Allhayarham Tun Abang Haji Openg serta berikutnya pada 16 September 1963 adalah tarikh Sarawak menjadi sebahagian penubuhan negara Malaysia," katanya.

Maka 22 Julai lalu satu majlis rasmi telah diadakan yang dihadiri Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud dan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Haji Adenan Satem di Dewan Undangan Negeri( DUN) bagi memperingati tarikh penting penglibatan negeri ini dalam penubuhan Malaysia itu. Dr Junaidi berkata sejarah terbabit juga perlu diketahui penduduk negeri ini supaya mereka dapat mengenepikan tanggapan salah sesetengah pihak yang mendakwa Sarawak hanya sebuah negeri dalam Malaysia seperti negeri lain. "Tanpa penyertaan Sarawak pada 16 September 1963 tiadalah terbentuk negara Malaysia dan di situ ada sikit perbezaannya yang perlu diketahui semua dan bagi memastikan sejarah negeri kita ini tidak diubah, ditukar, salah tafsir, salah baca dan sebagainya," katanya. -Utusan Sarawak.



Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget