![]() |
| JEMPUTAN: Chai menunjukkan kad jemputan yang diedarkan kepada orang ramai untuk ke acara tersebut nanti. |
MIRI: Rakyat Sarawak yang tinggal di Miri serta kawasan sekitarnya digesa hadir beramai-ramai untuk memberi sokongan terhadap perarakan mini sempena sambutan Hari Kemerdekaan Sarawak Ke-52 yang akan diadakan di padang Majlis Bandaraya Miri (MBM) di sini pada 19 Julai (Ahad) ini.
Pengerusi penganjur Chai Yu Chao berkata, acara pada hari itu bermula jam 8 pagi dengan proses pendaftaran peserta dan berkumpul di Marina Bay Commercial Centre sebelum berjalan sejauh satu kilometer menuju ke Padang MBM, lokasi utama sambutan.
“Walaupun perarakan besar-besaran dibatalkan, namun Team S4S Miri amat menggalak orang ramai sama-sama hadir memanfaatkan peluang ini untuk menunjuk kecintaan mereka terhadap Bumi Kenyalang,” katanya pada sidang media yang diadakan di sini semalam.
Sehubungan itu katanya, setakat ini lebih 1,000 mengesahkan penyertaan masing-masing dan menjangka jumlah hadir pada Ahad nanti akan berganda.
“Kami telah mengedar lebih 2,500 kad jemputan dan pengagihan tiket tersebut akan diteruskan kepada orang awam. Bagi mereka yang tidak mendapat tiket, mereka boleh hadir sama.
“Kami menggalak mereka yang sihat tubuh menyertai acara berjalan dari Marina Bay menuju ke Padang MBM.
“Orang kurang upaya atau warga emas, mereka boleh terus datang ke padang dan jawatankuasa akan memberi kad jemputan untuk tujuan pendaftaran,” jelasnya.
Manakala acara utama di padang pada jam 9 pagi dimulakan dengan taklimat keselamatan diikuti sesi zumba dikendalikan Misa Luvi Dance and Fitness Studio, ucapan setiausaha penganjur Hanim Jaree serta persembahan muzik.
Kemasukan adalah percuma dan Chai menasihati semua yang hadir sentiasa memberi perhatian serius terhadap aspek keamanan dan keharmonian sepanjang acara berlangsung.
“Beri kerjasama kepada pihak polis yang bertugas pada hari tersebut nanti,” katanya. -Borneo Post.

Post a Comment