Pilihan raya: Jangan dabik dada menang usaha sendiri



KUALA LUMPUR: Mungkin ada wakil-wakil rakyat yang mendakwa bahawa beliau membelanjakan beratus ribu ringgit untuk pilihan raya, maka beliau tidak terhutang budi kepada sesiapa.

"Saya hendak ingatkan mereka bahawa kempen untuk memenangkan seorang calon pilihan raya bukan bermula dari pembubaran parlimen atau penamaan calon," ujar Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar A Samad.

Malah, katanya kempen atau usaha untuk memenangi pilihan raya bukan juga bermula enam bulan atau setahun sebelum hari pembuangan undi.

Menurut Pesuruhjaya PAS Selangor itu, gerak kerja pilihan raya adalah satu gerak kerja berterusan.

"Ia adalah satu gerak kerja yang terus menerus berjalan selama belasan malah puluhan tahun," ujarnya lagi.

Contohnya, kata beliau kemenangan untuk kerusi-kerusi pada pilihan raya umum 2013 adalah juga hasil gerak kerja seawal tahun-tahun 80-an dan 90-an.

Tambahnya, setiap ahli atau penyokong yang bertungkus lumus sepanjang tempoh tersebut mempunyai saham di dalam kemenangan seorang calon.

"Setiap titik peluh yang dikeluarkan dan setiap sen yang dibelanjakan oleh mereka mesti diiktiraf dan bukan sahaja kerja-kerja selepas penamaan calon atau setahun sebelum penamaan calon," katanya yang Exco Kerajaan Selangor.

Kata beliau lagi, kalau hendak dikira, untuk memenangi satu kerusi sudah tentu melibatkan kewangan berjumlah jutaan ringgit atau tenaga kerja yang berjumlah beribu-ribu orang.

Malah, ujarnya ramai daripada mereka yang telah meninggal dunia sebelum penamaan calon.

"Oleh yang demikian, janganlah ada wakil rakyat yang mendabik dada kemenangan mereka adalah hasil usaha mereka sahaja," katanya.-Harakah Daily
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget