SHAH ALAM - Pas menzahirkan perasaan bimbang dan kesal berhubung kejadian kekecohan yang berlaku di kawasan tengah Bandaraya Kuala Lumpur yang tercetus sejak Sabtu malam.
Presidennya, Datuk Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan merayu dan meminta semua pihak yang ada dalam negara ini, terutamanya di kawasan sekitar titik panas Bukit Bintang agar bertenang dan mengelakkan sebarang provokasi baharu yang boleh menghangatkan suasana.
"Jangan kita cemari keharmonian pelbagai kaum yang ada dalam negara ini dengan insiden yang boleh melebarkan hubungan baik semua pihak yang sedia terjalin sejak zaman berzaman.
"Pas meminta semua pihak agar menangani semua isu yang timbul, walau apapun puncanya, dengan jiwa terbuka dan penuh dengan kesabaran terutamanya dalam bulan Ramadan yang mulia ini," ujarnya.
Terdahulu pergaduhan di Plaza Low Yat yang kelihatan sudah reda kembali kecoh malam tadi selepas berlakunya rusuhan membabitkan lebih 100 individu di pekarangan bangunan menjual gajet itu.
Insiden itu tercetus apabila peserta perhimpunan bantahan aman tidak berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan pasukan polis dalam perbincangan.
Insiden malam tadi menyebabkan sekurang-kurangnya empat cedera termasuk petugas media.
Bagaimanapun, polis berjaya mengawal keadaan itu dengan bantuan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang tiba jam 1 pagi.
Orang ramai yang masih berkumpul di plaza berkenaan sekitar jam 4 pagi juga diarah meninggalkan lokasi itu.- SH
Post a Comment