Kaum Cina DUN Simanggang diminta terus sokong BN


SRI AMAN: Kaum Cina dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang diminta terus membantu kerajaan membangunkan penempatan mereka dari semasa ke semasa.

Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Datuk Francis Harden Hollis berkata, usaha itu dapat dilakukan dengan memastikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) masing-masing berada dalam keadaan aktif.

Menurutnya, kerajaan memerlukan JKKK aktif untuk membangunkan Sri Aman bagi merancang dan menyalur peruntukan memajukan penempatan mereka termasuk untuk kaum Cina.

“Saya berharap JKKK kaum Cina di sini berjuang memajukan penempatan masing-masing dengan memberi sepenuh kerjasama terhadap rancangan pembangunan kerajaan,” katanya.

Harden yang juga ADUN Simanggang berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Dialog Bersama Penduduk Kampung Kaum Cina di kediaman beliau di Jalan Tini di sini, semalam.

Pada dialog itu Harden mengumumkan peruntukan sebanyak RM3,000 masing-masing kepada 11 JKKK penempatan kaum Cina yang terdapat di DUN Simanggang.

JKKK terbabit adalah Kampung Cina di Kejatau, Pasir Panas, Brayun Hulu, Brayun Hilir, bandar Simanggang, Munggu Sabun, Entulang, Resak, Sembau Bakong, RPR Fasa 2 (Bahagian Cina) dan Batu Lintang, Undop.

Sementara itu beliau juga menasihati kaum Cina di DUN Simanggang agar sentiasa mengemas kini data JKKK masing-masing agar mudah buat kerajaan merangka pelan pembangunan untuk mereka.

“Tolong kemas kini data JKKK masing-masing dan serah kepada pihak Pejabat Daerah bagi memudahkan kerajaan menyalur peruntukan bagi tujuan pembangunan penempatan mereka,” kata Harden

- Borneo Post
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget