Dua kontraktor tidak layak dijemput laksana projek Batu10-15


KUCHING: Ahli Parlimen Bandar Kuching Chong Chieng Jen mempersoalkan jemputan Jabatan Kerja Raya (JKR) ke atas dua daripada lima kontraktor ke dalam tender projek menaik taraf Batu 10 hingga Batu 15, Jalan Kuching-Serian di sini yang disifatkannya sebagai tidak adil.

Beliau mendakwa, dua kontraktor terbabit langsung tidak memiliki kelayakan untuk mendapat dan melaksanakan projek bernilai RM80 juta itu.

“Kedua-dua kontraktor ini tidak mempunyai pendapatan iaitu kosong dan masih baharu, satu syarikat didaftarkan pada September 2013 dan satu lagi pada April 2015.

“Ini tidak adil kerana JKR telah menjemput kontraktor yang tidak layak,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Menurut Chong yang juga pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Negeri, kontraktor yang layak untuk projek berkenaan haruslah mempunyai pendapatan se-kurang-kurangnya RM10 juta di dalam kelas G7.

“Tetapi kedua-dua kontraktor tersebut tidak mempunyai kelas langsung,” katanya.

Selain itu, Chong turut mempersoalkan keputusan JKR tidak menggunakan kaedah tender terbuka sebaliknya melalui jemputan tender.

Pada masa sama, katanya, kos projek tersebut juga terlalu tinggi apabila sebanyak RM80 juta dianggar untuk menaik taraf jalan yang hanya sepanjang lapan kilometer.

“Saya mahu Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof menjelaskan secara terperinci mengenai perkara ini kerana ia melibatkan projek sosial,” katanya.

Fadillah baru-baru ini telah memaklumkan bahawa kerja menaik taraf jalan di Batu 10 hingga Batu 15 dijangka akan bermula tahun ini sebaik sahaja JKR memuktamadkan pelantikan kontraktor berdasarkan tender.

“Ia masih dalam proses tender dan saya rasa JKR Sarawak sedang melakukan penilaian sekarang.

“Anggaran kami adalah RM80 juta kerana projek itu melibatkan pampasan tanah dan penempatan semula utiliti.

“Terdapat beberapa utiliti dan sebab itu ia agak mahal kerana jika dipindahkan bermakna perlu memasang semula semua utiliti baharu termasuk paip baharu dan pendawaian baharu,” kata-nya.

- Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget