DEDAH DALANG ‘LORI HANTU’

HENTIKAN SEGERA: Penghadang besi di Jalan Murum yang rosak setelah dirempuh oleh ‘lori hantu.’
KUCHING: ADUN Baleh Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing menggesa pihak berkuasa agar mendedahkan dalang di sebalik ‘lori hantu’ untuk menamatkan masalah yang sudah lama berlarutan itu.
“Dalang di sebalik ‘lori hantu’ ini mesti didedahkan. Dengan berbuat demikian, kita dapat menghalang orang yang memusnahkan harta benda awam sesuka hati,” tegas Menteri Kemajuan Tanah dan Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) itu.
Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan utama akhbar thesundaypost pada Ahad lepas bertajuk ‘The law catches up with ghost drivers.’
Menurut laporan itu, seorang pemandu ‘lori hantu’ ditangkap kerana menggunakan treler kayu balak untuk merempuh penghadang besi yang didirikan bagi menghalang treler yang membawa muatan berlebihan di Jalan Murum.
Sementara itu, Ketua Publisiti Pemuda PRS Bit Sulang berkata keingkaran pemandu lori terbabit bukan sahaja merosakkan harta benda awam, malah turut membahayakan pengguna jalan lain.
“Saya memuji pihak polis kerana bertindak cepat terhadap pemandu yang merosakkan penghadang besi tersebut.
“Ini adalah amaran kepada orang lain bahawa pihak berkuasa serius dalam isu ini. ‘Lori hantu’ mesti dihalang,” katanya.
Bagaimanapun, beliau kecewa dengan agensi penguatkuasaan lain kerana tidak serius dalam usaha menangani masalah itu.
Menurutnya, agensi terbabit tidak boleh membiarkan polis sahaja untuk melaksanakan penguatkuasaan.
Bit turut memberitahu beberapa penghadang besi lain di sepanjang Jalan Murum yang baharu siap juga telah dirosakkan.
Beliau berkata, Jalan Murum juga rosak angkara lori pembalakan yang membawa muatan berlebihan. -Utusan Borneo.

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget