Kenyataan Media DAPSY Petra Jaya: Jangan Memainkan Sentimen Perkauman Berhubung Insiden Yang Berlaku di Low Yat Plaza. - Aziz DAP
Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Petra Jaya mengikuti peristiwa terkini berkaitan pergaduhan di Plaza Low Yatt. Merujuk kepada kejadian yang berlaku di plaza low Yatt semasa hujung minggu ini, DAPSY Petra Jaya menyeru rakyat Malaysia yang cintakan keamanan agar bertenang dan mengajak semua masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama supaya bertenang dan jangan meletakkan emosi menguasai diri.
Walaupun kejadian tersebut berlaku di Bukit Bintang, Semenanjung Malaysia, namun DAPSY Petra Jaya menyeru agar semua pihak terutamanya rakyat Sarawak tidak terbawa-bawa dengan sentimen perkauman yang cuba dicetuskan oleh sesetengah pihak. DAPSY Petra Jaya juga menyeru rakyat Sarawak supaya berhati-hati membuat komentar dan tidak harus menjadikan isu ini sebagai isu perkauman yang boleh menjejaskan keharmornian dan keamanan negara ini. Rakyat Malaysia perlu lebih matang dan melihat isu lebih daripada perspektif perkauman. Isu ini lebih tertumpu kepada isu antara penjual dan pembeli.
DAPSY Petra Jaya meminta semua pihak agar tidak memanjangkan lagi isu ini dalam konteks perkauman dan juga berharap tidak ada mana-mana pihak cuba mengambil kesempatan atas isu ini. Kami mengutuk sebarang usaha ugutan perkauman melalui keganasan dan penyebaran fitnah dan maklumat yang salah. Kami juga mengutuk apa-apa percubaan untuk menggunakan isu bagi mengapikan sentimen perkauman.
Sebagai sebuah parti politik yang menjunjung asas perlembagaan negara, kebebasan bersuara dan keadilan sosial untuk memastikan keharmornian rakyat Malaysia, DAPSY Petra Jaya mengharapkan semua pihak memainkan peranan penting agar tidak ada langsung isu perkauman ditiupkan oleh pihak tidak bertanggungjawab samada melalui media, kelakuan dan percakapan. DAPSY Petra Jaya percaya setiap isu atau masalah dapat diatasi melalui cara keamanan dan saluran-saluran yang sah di sisi undang-undang. DAPSY Petra Jaya mengajak semua masyarakat Malaysia dari segenap lapisan masyarakat untuk bermuafakat tanpa mengira bangsa, kaum dan agama. Kami berharap rakyat Sarawak tidak terikut-ikut dengan budaya merusuh sebegini sehingga memainkan api perkauman.
DAPSY Petra Jaya kesal dengan serangan membabi buta ke atas beberapa orang wartawan akhbar berbahasa Cina semasa kekecohan di Plaza Low Yat. Ianya merupakan satu petunjuk jelas bahawa ada pihak yang bertangungjawab sengaja menimbulkan masalah dan berhasrat menjadikan hal ini sebagai isu perkauman. Penting ditegaskan di sini, pengamal media berada di tempat kejadian untuk berkhidmat bagi kepentingan awam dan tidak wajar mereka dijadikan sasaran pihak-pihak tidak bertanggungjawab. DAPSY Petra Jaya mengecam tindakan individu-individu yang menimbulkan kekecohan dan mereka yang menggunakan insiden tersebut untuk mengapi-apikan sentimen perkauman.
DAPSY Petra Jaya juga mengharapkan pihak-pihak bertanggungjawab dalam penguatkuasaan undang-undang dapat memberi keutamaan kepada isu ini untuk diselesaikan segera dan tidak dibiarkan menjadi isu perkauman yang boleh menggugat keamanan negara. Kita perlu ingat dalam ekonomi negara semakin tenat kita perlu memberi tumpuan kepada isu-isu yang memberi kesan kepada kita semua sebagai rakyat Malaysia seperti kejatuhan harga getah, kesan cuki GST, penggangguran, rompakan terang-terangan oleh 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) dan salah urus ekonomi oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) daripada memberikan tumpuan kepada isu-isu yang memecahbelahkan kita.
DAPSY Petra Jaya mendoakan semoga negara Malaysia ini sentiasa saling menghormati dan memelihara hak semua rakyat sama ada hak urusan berjual beli, beragama, keadilan dan lain-lain seperti yang terkandung dalam perlembagaan negara. Jadikan permuafakatan sebagai keutamaan setiap lapisan masyarakat. Kami menyeru sekali lagi kepada semua rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan berfikiran rasional untuk menyertai kami bersama-sama dalam mengutuk perbuatan samseng ini dan menyerahkan kejadian ini kepada pihak berkuasa untuk siasatan.
ABDUL AZIZ ISA
SETIAUSAHA PUBLISITI PEMUDA DAP PETRA JAYA.
-SarawakLIVE
Post a Comment