![]() |
| Ketua Polis Daerah Sibu ACP Mohd Kamal Kordi |
SIBU: Empat das tembakan dilepaskan apabila sebuah pacuan empat roda dipandu dalam keadaan berbahaya oleh suspek yang dipercayai cuba melanggar salah seorang anggota polis.
Insiden berlaku pada jam 7.40 pagi ketika Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu mengadakan operasi serang hendap di hadapan sebuah kilang papan di Hulu Lanang malam kelmarin.
Motif serbuan tersebut bertujuan menangkap seorang suspek yang dikehendaki polis berhubung kes curi kereta.
Sebaik sahaja suspek keluar dari kilang dengan memandu sebuah Toyota Hilux, polis terus bertindak menghalang kereta berkenaan namun suspek sebaliknya cuba melanggar seorang anggota yang berdiri di hadapan kereta suspek.
Dalam berdepan situasi berbahaya itu, polis tidak mempunyai pilihan melainkan melepaskan empat das tembakan dan satu daripada tembakan itu mengena bahu kiri rakan suspek yang berada di tempat duduk sebelah pemandu.
Pemandu yang merupakan suspek dicari kemudian bertindak keluar dari kenderaan cuba melarikan diri tetapi pasukan JSJ berjaya menahannya 100 meter dari tempat kejadian.
Pemeriksaan di dalam kenderaan tersebut mendapati seorang lelaki berumur 37 tahun berada di tempat duduk sebelah pemandu cedera terkenaan tembakan.
Menurut polis, rakan suspek cedera di belakang bahu kiri selepas peluru menembusi belakangnya.
Rakan suspek yang tercedera kemudian dibawa ke Hospital Sibu untuk mendapatkan rawatan.
Bagaimanapun, anggota polis yang dilanggar suspek hanya mengalami kecederaan ringan di bahagian tangan.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Mohd Kamal Kordi ketika dihubungi mengesahkan insiden tersebut.
Suspek disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cuba merempuh polis dengan kereta. -Borneo Post.

Post a Comment