Torstein disifatkan terlalu bongkak


PKR minta KM menegur CEO SEB itu termasuk menamatkan perkhidmatannya

SIDANG MEDIA: See (duduk tengah) bersama Exco Wanita PKR Pusat Norhanim Mokhsen (duduk kiri), Naib Pengerusi Wanita PKR Pusat Voon Shiak Ni (duduk kanan) dan ahli PKR Sarawak yang lain semasa sidang media di ibu pejabat PKR Sarawak di Kuching, semalam.

KUCHING: Sambil menyifatkan sikap Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Energy Berhad (CEO SEB) Datuk Torstein Dale Sjotveit sebagai mempamerkan ‘sikap bongkak yang keterlaluan dan anti-intelektual’ yang memalukan serta memburukkan kerajaan negeri dan semua rakyat Sarawak, Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak meminta Ketua Menteri menegur CEO SEB itu termasuk menamatkan perkhidmatannya.
Naib Pengerusi PKR Sarawak See Chee How berkata kerajaan negeri tidak harus dilihat sebagai melantik personaliti yang begitu bongkak dan anti-intelektual untuk mentadbir syarikat korporat tenaga yang dimiliki awam tersebut sebaliknya anak jati Sarawak dengan integriti yang lebih memahami keperluan negeri ini yang harus dilantik.
“Saya sedih dan kecewa dengan kenyataan CEO SEB itu yang menolak empat laporan kajian yang dikemukakan oleh Makmal Tenaga Sesuai dan Diperbaharui (RAEL) dari Universiti California, Berkeley mengenai Sarawak,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR Sarawak di sini, semalam.
Menurut See, kajian RAEL tersebut ada asasnya di mana ia diselidiki dengan teliti dan tekun, penuh dengan data saintifik, menyeluruh dalam analisis dan saranan dasarnya.
Dakwa beliau, kajian tersebut merangkumi penilaian impak biodiversiti dalam projek infrastruktur besar, perancangan tenaga jangka panjang bersepadu bagi ekonomi yang pesat membangun iaitu kajian kes bagi projek mega di Borneo, perancangan dan pembangunan tenaga di Borneo Malaysia iaitu menilai faedah daripada teknologi yang diagihkan berbanding projek mega tenaga berskala besar dan menilai potensi bagi sumber tenaga yang diagihkan untuk memenuhi permintaan tempatan di Malaysia Timur.
Kajian tersebut dapat diperolehi dalam laman sesawang RAEL (http://rael.berkeley.edu/) dan dibuka kepada orang ramai untuk membaca dan memuat turun kajian ini dan lain-lain.
“Sesiapa yang melayari laman sesawang ini akan membaca kajiannya dan mendapati ia adalah hasil kerja sains yang bermakna dan bukan kajian ‘tidak masuk akal’ seperti yang disebut oleh Torstein,” kata See.
Justeru, See berkata beliau meragui sama ada Torstein ada membaca kajian tersebut atau tidak di mana ketika Dr Rebekah Shirly melawat ibu pejabat SEB dua minggu lalu untuk membentangkan kajian berkenaan, Torstein tidak hadir sebaliknya menghantar kakitangan penyelidikan, perancangan dan strategiknya untuk menghadiri taklimat tersebut dan bertukar pandangan dengan Dr Rebekah.
“Saya menyangka Torstein ada membaca kajian penyelidikan oleh RAEL atau mendengar taklimat daripada kakitangannya sendiri.
“Bagaimanapun ini ternyata tidak dilakukannya… beliau menunjukkan kejahilannya apabila tidak dapat membidas sebarang penemuan kajian itu dengan menganggapnya sebagai kajian yang tidak saintifik serta memilih untuk mengetepikan kerja sarjana terkemuka dari sebuah universiti ‘Ivy League’ dari Amerika, Universiti California Barkely.
Selain itu, katanya Torstein turut menunjukkan dirinya sebagai bongkak dan ‘anti intelektual’ dengan menolak penyelidikan saintifik tanpa memberi sebab-sebab yang sahih untuk menolaknya tetapi sekadar menepis penemuan dan kajian RAEL sebagai tidak sah dan tidak masuk akal.
“Ketua Menteri dan pentadbiran negeri harus memanggil CEO SEB tersebut untuk menjelaskan kepentingannya apabila beliau menolak laporan oleh sebuah institusi antarabangsa dan terkemuka.
“Kenyataannya ternyata telah memburukkan reputasi kerajaan negeri dan semua rakyat Sarawak,” kata See sambil menambah, SEB sebagi sebuah badan korporat utiliti milik kerajaan yang dibiayai awam harus bertanggungjawab kepada semua rakyat Sarawak.
Sementara dengan sikap yang tidak menyenangkan, See juga menggesa kerajaan negeri dan semua rakyat Sarawak supaya harus bertanya apa sebenarnya agenda Torstein sebagai CEO SEB.
“Torstein harus diingatkan bahawa Ketua Menteri kerap kali menekankan tentang keutamaan pentadbiran negeri untuk menjalankan projek elektrifikasi luar bandar bagi memastikan semua rakyat Sarawak dapat menikmati kemudahan asas tenaga elektrik bagi mengangkat taraf hidup mereka.
“Bagaimanapun selama beliau berkhidmat sebagai CEO SEB, Torstein gagal memenuhi keperluan masyarakat tempatan untuk menyediakan bekalan elektrik kepada mereka sebaliknya beliau telah menunjukkan SEB lebih mengutamakan keperluan serta kepentingan perindustrian dan komersial yang besar dengan mengabaikan rakyat tempatan dan alam sekitar di negeri ini,” katanya. -Borneo Post.

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget