Serian masih selamat di sebalik lima rompakan terancang

KESELAMATAN: (dari kanan) Peter, Riot dan Chung bersama
ketua kaum dan ketua masyarakat di Serian tekun mendengar
taklimat  keselamatan daripada PDRM semalam.

KUCHING:Ahli Parlimen Serian Datuk Seri Richard Riot Jaem memberi jaminan bahawa tahap keselamatan penduduk di kawasan Parlimen itu masih lagi dalam keadaan terkawal.
Pada 4 hingga 8 Julai lepas berlaku lima kes rompakan terancang yang disyaki dilakukan oleh mereka yang datang dari negara jiran.
Kes-kes tersebut berlaku di Kampung Tangga pada 4 Julai jam 9 malam, Kampung Lebor (melibatkan tiga rumah) pada 8 Julai dengan kejadian berlaku antara jam 12.50 hingga 12.55 pagi dan 2 pagi) dan di Batu 12 Jalan Serian-Sri Aman (8 Julai jam 4.30 pagi).
“Harus dipuji tindakan cepat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Serian kerana terus mengadakan sekatan jalan raya dan meronda di kawasan ladang di Mongkos dan Taee sejurus menerima aduan kes.
“Mereka sedar polis mengekori mereka dan menyerbu kawasan ladang, namun perompak seramai enam orang itu dipercayai masih bebas kerana belum ada tangkapan dibuat,” katanya ketika berucap pada Program Taklimat Keselamatan Daerah Serian di Dewan Masyarakat Serian di sini semalam.
Tambah Riot yang juga Menteri Sumber Manusia, keselamatan bahagian Serian tidak bergantung semata-mata kepada pihak polis bahkan ia memerlukan kerjasama erat daripada penduduk untuk menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan.
Justeru, PDRM yang diketuai Ketua Polis Daerah Serian Asisten Superintenden Chung Aik Peng mengadakan taklimat untuk 170 ketua masyarakat dan ketua kaum tentang langkah-langkah keselamatan yang perlu diambil.
Bayangkan, nisbah seorang anggota polis daripada 156 orang anggota perlu menjaga 609 penduduk daripada populasi seramai 110,000 orang di sini.
Pihaknya juga dalam usaha untuk mencapai kata sepakat tentang isyarat rasmi yang akan diguna pakai oleh setiap ketua masyarakat atau kaum di setiap kampung.
Beliau percaya ada dalang daripada kalangan masyarakat setempat yang memberi maklumat kepada para perompak itu.
Sementara itu, Chung mengingatkan ketua kaum dan ketua masyarakat setempat untuk tidak mengambil tindakan terburu-buru sebaliknya memberi informa berkenaan kepada pihak polis untuk diambil tindakan.
“Jangan ambil tindakan undang-undang di tangan anda… melainkan kalau ketika kejadian berlaku di depan mata, tangkap dan serahkan kepada pihak polis. Biar undang-undang yang menghukum mereka.
“Senapang yang telah diluluskan oleh PDRM milik orang awam dilarang digunakan untuk menakutkan penjenayah kerana ia diberi untuk mengawal perosak tanaman,” jelasnya.
Pada masa yang sama, Temenggung Masyarakat Bidayuh Serian Henry Bujang Sadok berharap pihak RELA di bahagian Serian menggerakkan anggota mereka untuk berkawal pada waktu malam.
Talian hotline pihak polis Serian untuk dihubungi bagi membuat aduan jenayah dengan cepat ialah 082-874012.
Turut hadir Setiausaha Politik Riot Mejar (B) Peter Runin. -Borneo Post.

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget