Pengarah syarikat pembangunan hartanah berumur 48 tahun itu merupakan individu keempat yang ditahan reman berhubung siasatan kes melibatkan syarikat pelaburan strategik negara itu.

Difahamkan suspek berkhidmat dengan syarikat sama dengan seorang lagi pengarah yang pernah ditahan untuk membantu siasatan kes tersebut.

Penahanan terbaharu itu menjadikan sebanyak tiga pengarah syarikat dan seorang pemilik tunggal syarikat ditahan setakat ini. Dua daripadanya bagaimanapun telah dibebaskan.

Suspek terbaharu itu telah dibawa ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada pukul 7 malam semalam untuk soal siasat sebelum dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya di sini hari ini untuk tujuan tahanan reman.

Penahanan suspek dipercayai mempunyai kaitan dengan SRC International Sdn. Bhd., sebuah syarikat yang sedang disiasat bersama Ihsan Perdana Sdn. Bhd. dan Gandingan Mentari Sdn. Bhd. berhubung isu 1MDB.

Dalam pada itu, seorang pengarah syarikat berlainan yang merupakan individu kedua ditahan dalam kes berkaitan 1MDB telah dibebaskan hari ini selepas ditahan reman selama empat hari sejak Rabu lalu.

Pengarah berumur 54 tahun yang juga bergelar Datuk itu dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM100,000 dengan dua penjamin. -Utusan Online.