Ketua Penerangannya, Kamalulhysham Mohd. Suhut berkata, pendirian tersebut merupakan ketetap­an yang telah diputuskan oleh pihaknya di sebalik isu GHB selain menegaskan kenyataan Haron itu adalah selaras dengan usaha mempertahankan amanah yang diberikan.

“Wakil rakyat yang menyertai parti baharu yang akan diisytiharkan oleh GHB adalah haram menikmati gaji dan elaun daripada jawatan mereka kerana kerusi yang dimenangi merupakan amanah dan mandat daripada Pas.

“Kemenangan yang diraih adalah hasil pengorbanan ahli-ahli Pas. Setelah mereka yang dipilih menjadi calon dalam pilihan raya yang lalu berikrar untuk setia dalam perjuangan, tidak khianat kepada parti.

“Malah, pengundi-pengundi memberikan mandat kepada calon-calon yang bertanding atas dasar parti bukannya faktor peri­badi,” katanya menerusi Facebook Dewan Ulama Pas Negeri Selangor hari ini.

Dalam pada itu, Kamalulhysham mengingatkan wakil rakyat Pas yang terlibat dalam pergerakan GHB supaya meletakkan jawatan masing-masing dan bertanding semula berdasarkan kekuatan individu.

“Demi menjaga maruah diri dan agar tidak terus hidup memakan harta syubhah, mereka yang terlibat perlu meletakkan jawatan dan bertanding semula dengan kekuatan sendiri,” ujarnya.

Baru-baru ini, Haron dilaporkan menegaskan bahawa wakil rakyat Pas yang mendukung perjuangan GHB adalah haram menikmati gaji dan elaun mereka kerana kerusi yang dimenangi adalah berdasarkan tiket parti itu. -Utusan Online.