Tingkatkan sokongan BN di Bawang Assan


SIBU: Pengundi Bumiputera di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bawang Assan diminta meningkatkan sokongan undi tidak kurang 85 peratus kepada calon Barisan Nasional (BN) ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Setiausaha Politik Ketua Menteri Andrew Shilling Banggit berkata, peratus undi itu amat penting bagi memastikan calon BN iaitu Dato Sri Wong Soon Koh untuk terus dapat mempertahan kerusi DUN Bawang Assan.

“Saya memohon kepada pengundi Bumiputera di kawasan Bawang Assan jangan mengurangkan peratusan undi ini. Jangan kurang daripada 85 peratus,” katanya ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Juing, Pasir Mas, Batang Igan baru-baru ini.

Majlis dirasmi oleh ADUN Bawang Assan merangkap Menteri Kewangan Kedua serta Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti Dato Sri Wong Soon Koh.

Berdasarkan statistik sehingga September 2015, DUN Bawang Assan mempunyai 18,436 pengundi, sebanyak 8,110 mewakili 44.4 peratus adalah pengundi Bumiputera.

Andrew yang juga pengerusi Unit Bumiputera UPP Cawangan Bawang Assan berkata, tiada sebab mengapa pengundi tidak dapat memberi sokongan padu kepada Wong pada PRN akan datang.

Wong yang juga presiden UPP katanya, telah memberi khidmat yang baik sebagai wakil rakyat selain membawa banyak projek pembangunan kepada rakyat, khususnya di luar bandar.

“Teruskan sokongan kepada beliau (Wong) untuk membolehkan beliau membawa lebih banyak pembangunan dalam masa lima tahun akan datang,” jelas Andrew.

Andrew juga menyeru pengundi yang mengundi di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Sungai Aup, meningkatkan peratus undi kepada calon BN iaitu tidak kurang daripada 75 peratus.

Ini kerana ketika PRN 16 April 2011 katanya, calon BN hanya memperolehi 59.9 peratus undi.

Pengundi membuang undi di SK Sungai Aup ini adalah dari Sungai Engkalat (Rumah Jambar dan Rumah Adin), Sungai Aup (Rumah Maling, Rumah Catherine Tamoh dan Rumah Francis), Pasir Mas (Rumah Juing) serta pengundi dari kawasan sekitarnya. - Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget