SWP ber"drama" dengan DAP


KUCHING: Rancangan pakatan antara Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak dan Parti Pekerja Sarawak (SWP) kini berubah apabila Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen semalam mendedahkan bahawa Presiden SWP Larry Sng sedang menimbang untuk meminta ahli partinya menyertai mereka (DAP).

Menurut Chong, Larry telah mencadangkan perkara tersebut kepadanya kira-kira tiga bulan lalu.

“Pada mulanya kami berbincang tentang pakatan tetapi kemudian Larry memberitahu saya bahawa beliau memikirkan tentang ahli SWP menyertai DAP,” katanya pada sidang media di ibu pejabat DAP Sarawak di sini, semalam.

Justeru, Chong berkata pihaknya gembira dan mengalu-alukan ahli SWP untuk menyertai mereka.
Beliau menambah, kedua-dua parti juga telah menubuhkan satu jawatankuasa untuk membincangkan bagaimana SWP boleh menyertai DAP.

“Saya ingin menyatakan dengan jelas bahawa Larry telah mencadangkan agar ahli-ahli SWP menyertai DAP tetapi beliau juga mengatakan perlu mendapat persetujuan ahli-ahlinya terlebih dahulu.

“Namun setakat ini kami masih menunggu keputusan mereka…kami mengalu-alukan sesiapa sahaja yang menerima ideologi dan perjuangan parti,” katanya.

Bagaimanapun, pendedahan Chong itu adalah bercanggah dengan kenyataan Larry baru-baru ini yang menyatakan bahawa SWP hanya mengadakan perbincangan mengenai kerjasama dengan DAP semasa pilihan raya sahaja.

“Chong dahulu telah menegaskan bahawa DAP tidak akan bergabung kerana ia adalah sebuah parti kebangsaan.

“Oleh itu, kami hanya mengadakan perbincangan mengenai kerjasama dengan mereka untuk pilihan raya sahaja,” katanya.

Larry turut menegaskan bahawa SWP akan kekal di negeri ini dan keluar dengan logo sendiri pada Pilihan Raya Negeri akan datang.

Beliau menambah, SWP juga membuka pintu kepada mereka yang berpotensi dan ingin bertanding mewakili parti itu sama ada di kerusi bandar mahupun luar bandar.- Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget