Sokongan Richard terhadap Entri lebih bersifat peribadi


MIRI: Parti Rakyat Sarawak (PRS) menegaskan kenyataan Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri Richard Will menyokong Datuk Sylvester Entri Muran sebagai calon Barisan Nasional (BN) di Marudi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang lebih bersifat pendapat peribadi bukan menggambarkan pendirian parti secara keseluruhan.

Ahli Majlis Tertinggi PRS, Pandang Semat berkata, itu adalah kenyataan Richard Will sendiri, bukannya kenyataan dibuat sebulat suara oleh parti.

“Dalam hal ini, Richard bertindak bersendirian. Parti tidak pernah memberi kuasa kepada beliau membuat kenyataan tersebut.

“PRS tidak bersetuju dengan pendapat Richard dan kita amat kesal dengan tindakannya itu,” katanya katanya dalam satu jamuan sempena mesyuarat antara beberapa pemimpin PRS di sini malam kelmarin.

Pandang menjelaskan, mereka turut terkejut apabila membaca kenyataan Richard Will kerana ia ternyata melanggar pendirian termasuk tema persepakatan “Merger Of Minds” antara PRS, Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).

Katanya, mesyuarat itu bagi membincang tindakan terhadap Richard Will merupakan salah seorang anggota Majlis Tertinggi PRS kerana tidak menepati janji untuk menyokong penuh kerjasama yang ditekankan dalam ‘Merger of Minds’ sebelum ini.

“Richard Will sendiri mengatakan beliau menyokong penuh kerjasama ini dan mahu persefahaman dan persepakatan ini untuk selama-lama nya. Namun apa yang kita baca dan lihat adalah sebaliknya,” katanya.

Richard Will bersama Entri baru-baru ini terbang mengguna helikopter ke Rh Kajan Segeh dan beliau membuat kenyataan bertentangan dengan kesepakatan “Merger Of Minds”.

Menurut Pandang, PRS komited dengan semangat “Merger of Minds and Hearts” dan berdiri teguh bersama SPDP dan PRS.

“PRS pernah mengalami masalah yang SPDP alami sekarang dan kami faham perasaan SPDP,” katanya.

Beliau menambah, PRS memberi sokongan penuh kepada calon BN SPDP iaitu Datu Dr Penguang Manggil di Marudi malah PRS Marudi sudah diarah untuk memberi kerjasama secara menyeluruh kepada SPDP.

Turut menyesali tindakan Richard Will Uban menyokong Entri secara melulu ialah David Steven, Ketua Bahgian PRS bahagian Pujut.

“Kenyataan Richard Will ini telah mencemar imej parti dan kesepakatan dalam “Merger Of Minds” yang tidak menggambarkan ucapan beliau sendiri menyokong kesepakatan ketika makan malam parti komponen BN di Kuching baru-baru ini,” kata David.

Timbalan Pengerusi Pergerakan Wanita Senadin dan Setiausaha Wanita PRS Sarawak Kaunselor Misiah Abdullah @ Emiss Brodie berkata, mereka sudag bermesyuarat mengenai perkara itu dan keputusannya akan diserahkan kepada presiden parti.

“Kami serah kepada pucuk pimpinan parti membuat keputusan. Saya secara peribadi mahu tindakan sewajar diambil oleh parti terhadap Richard Will,” kata Misiah.

Hadir sama Ketua Pemuda SPDP, Kaunselor Robert Ayu, calon Barisan Nasional SPDP di Marudi, Datu Dr Penguang Manggil, Ketua SPDP Bahagian Telang Usan, Wan Lah, Ketua Penerangan Pemuda Sarawak, Jaya Ramba, ahli exco pemuda SPDP, Pengerusi SUPP bahagian Pujut, Adam Yii dan Setiausaha SUPP Piasau Karambir Singh.

Menurut Adam, SUPP komited dan sangat menghormati “Merger Of Minds” yang bersepakat mempertahan perlembagaan Barisan Nasional di Sarawak.

“Parti kami juga sangat berdisiplin dalam menangani sebarang isu. Saya sangat menyokong tindakan pantas semua ketua bahagian PRS di Miri dalam isu Richard Will ini.

“Saya juga ingin menyatakan bahawa SUPP Marudi menyokong seratus peratus Datu Dr Penguang Manggil sebagai calon SPDP mewakili BN di Marudi pada pilihan raya nanti,” katanya. -Utusan Borneo.

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget