Sekolah demokrasi DAP lahirkan tokoh muda Melayu


Ketika sentimen anti DAP semakin marak di kalangan masyarakat Melayu negara ini sejak beberapa tahun lalu, DAP menubuhkan Sekolah Demokrasi (SekDem), dan ia terbukti mula menunjukkan hasil dengan lahirnya tokoh anak muda Melayu DAP.

Sesuai dengan masalah yang mereka hadapi, SekDem menjadikan Bahasa Malaysia sebagai pengantar kerana mereka mensasar anak muda Melayu menyertainya.

"Kami melahirkan lebih 300 graduan dari sekolah ini sejak ditubuhkan kira-kira 4 tahun lalu. Lebih 90% daripada mereka adalah orang Melayu," kata Wan Hamidi Hamid, pengetua SekDem yang merupakan bekas wartawan, yang kini menjadi petugas Melayu sepenuh masa di ibu pejabat DAP.

Usaha Wan Hamidi terbukti berkesan apabila ramai "selebriti" DAP di kalangan Melayu kini adalah graduan SekDem.

Young Syefura Othman, Dyana Sofya dan Edry Faizal Eddy Yusof adalah antara graduan SekDem yang kini menjadi selebriti di kalangan pemimpin DAP.

Diyana adalah bekas calon DAP pada pilihan raya kecil Teluk Intan, manakala Syefura, atau Rara dan Edry adalah antara ahli majlis pihak berkuasa tempatan yang bakal dilantik kerajaan Selangor.

Kedua-dua mereka mereka sedang digarap DAP menjadi calon mereka dalam pilihan raya umum nanti.

"Melalui sekolah ini, kami latih peserta bercakap tentang demokrasi selepas memahamkan mereka tentang demokrasi," kata Wan Hamidi kepada The Malaysian Insider.

Wan Hamidi memulakan kariernya dengan DAP apabila dilantik menjadi ketua pengarang Roketkini, laman web berbahasa Melayu milik DAP.

Selain pengetua SekDem, Wan Hamidi juga pengasihat projek Impian Malaysia yang diusahakan DAP bagi menembusi kawasan yang selama ini asing untuk parti itu.

Di bawah Impian Malaysia terbentuknya Impian Sabah, Impian Sarawak dan tahun lalu mereka membentuk Impian Kelantan.

Melalui Impian Sarawak dan Sabah, DAP pergi ke kawasan pendalaman di kedua-dua negeri itu membantu kehidupan penduduk di sana.

Mereka membina saluran paip air, membaiki jalan rosak dan membina rumah penduduk kampung.

Ketika Impian Kelantan dilancarkan untuk membantu mangsa banjir mega di negeri itu, Rara dilantik penyelarasnya.

Ditemui baru-baru ini, Rara dengan bangga memberitahu beliau graduan SekDem pimpinan Wan Hamidi.

Selama 6 bulan, beliau berulang alik membawa sukarelawan dan bahan bantuan dari Kuala Lumpur ke Kampung Pasir Tumbuh di pendalaman Hulu Kelantan bagi membantu mangsa banjir di kawasan itu.

"Hampir RM1 juta kami berjaya kumpul duit untuk membantu mangsa banjir di kampung angkat Impian Kelantan itu," kata Rara kepada The Malaysian Insider.

Baru-baru ini, Rara, salah seorang graduan SekDem, diumumkan sebagai penyelaras DAP DUN Dusun Tua, Selangor, sekaligus menjadikan beliau wakil rasmi DAP kawasan itu.

DAP mensasarkan calon di 8 kawasan DUN Selangor yang diwakili PAS sekarang, ekoran perpecahannya dengan parti Islam itu.

Seorang lagi graduan SekDem, Edry Faizal, dilantik senyelaras DAP DUN Taman Templer, kawasan diwakili Zaidy Talib, exco kerajaan Selangor dari PAS.

"Ini adalah projek jangka panjang DAP. Bukan senang menukar sentimen anti DAP di kalangan Melayu ini dalam masa yang singkat tetapi untuk jangka panjang, kami yakin ia boleh," kata Wan Hamidi tentang projek SekDem ini.

Selain membina bakal pemimpin DAP, SekDem juga melahirkan aktivis masyarakat yang lain.

"Kami lahirkan kumpulan aktivis yang menggerakkan program Bicara Demokrasi," kata Wan Hamidi merujuk kepada sekelomppk aktivis graduan SekDem yang menganjurkan program bicara dan forum di beberapa tempat.

SekDem adalah program percuma DAP bagi peserta berumur 18-30 tahun, dan dijalankan 3 hari 2 malam di hotel.

Sekolah ini mempunyai 3 tingkatan, iaitu 1 dan 2 untuk semua pihak manakala tingkatan 3 untuk ahli DAP sahaja.

Bermula dengan sesi berkenalan, peserta kemudiannya diberikan ilmu demokrasi di samping melatih mereka bercakap menyampaikan idea yang mereka pelajari.

Kakitangan pengajar termasuk seorang guru agama, Abdul Hakim Ramlee, yang merupakan ketua jurulatih SekDem. Melalui beliaulah para peserta dilatih tentang demokrasi menurut perspektif DAP. – Malaysian Insider.


Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget