Sangsi keikhlasan Umno punca sokongan Pas tak berubah


SHAH ALAM – Sangsi terhadap keikhlasan Umno antara faktor utama tidak berlakunya perubahan sokongan di peringkat akar umbi Pas terhadap parti pemerintah itu sekiranya kedua-dua parti Melayu Islam itu ingin bekerjasama semula.

Pengarah Strategi Amanah, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, laluan ‘silaturahim’ itu semakin sukar apabila penyokong Pas dan Umno didakwa masih kekal dengan pegangan lama (politik) kerana kezaliman Umno terhadap Pas masih segar dalam ingatan mereka

“Penyokong Umno juga tidak lupa dengan pelbagai tuduhan parti lawan (Pas) terhadap mereka. Mereka sangsi keikhlasan pihak lawan tradisi dan tetap menyokong parti mereka walaupun tampaknya pemimpin mereka 'bermain politik' seperti pernah mereka lalui dahulu.

“Tanggapan negatif terhadap satu sama lain ini tidak mudah untuk diatasi sebab telah ditanam oleh pemimpin yang secara tiba-tiba mahukan kerjasama dan membuat 'u-turn',” katanya kepada Sinar Online.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi Institut Darul Ehsan (IDE), Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman pada Ahad lepas bahawa hasil kaji selidik badan itu mendapati kerjasama Umno dengan Pas tidak akan memberi sebarang manfaat kepada nasib orang Melayu di negara ini.

Mohammad Redzuan berkata, hubungan baik Umno dan Pas juga akan menyebabkan perpecahan orang Melayu yang lebih serius susulan kemarahan penyokong parti Islam itu terhadap parti komponen BN itu masih menebal sehingga ke hari ini.

Naib Canselor Universiti Selangor (Unisel) yang baharu itu turut berkata keadaan semakin teruk kerana Pas berkemungkinan besar akan berpecah sekali lagi kerana majoriti akar umbi masih tidak bersetuju dengan kerjasama tersebut.

Berdasarkan kaji selidik IDE pada November lepas di Selangor menunjukkan lebih 45 peratus responden tidak bersetuju dengan kerjasama itu namun sokongan mereka tidak berubah meskipun banyak polisi kerajaan tidak menguntungkan mereka.

Mengulas lanjut, Dzulkefly juga berkata pemimpin kedua-dua parti Melayu ini menghadapi masalah untuk meyakinkan ahli dan penyokong masing-masing kerana mereka sendiri tidak pernah berubah serta bertaubat dengan semua kesalahan lalu.

“Lebih mudah bagi pembangkang dan penyokongnya untuk mengkritik serta serang kerajaan (kerana) mereka berkuasa dan memerintah, lalu terdedah kepada pelbagai salah guna kuasa, kepincangan dan kelemahan.

“Tetapi hakikatnya sekarang ini pembangkang juga memerintah di peringkat negeri dan terdedah kepada segala salah-guna kuasa, suasana yang terlalu terbelah ini, adalah punca utama, mengapa mereka mempunyai persepsi negatif terhadap kerjasama kedua-dua parti Melayu ini,” katanya lagi.

- Sinar Online
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget