Presiden PKR akan lancar Bilik Gerakan Utama sempena PRN Sarawak


MIRI: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan melancarkan Bilik Ge-rakan Utama (BGU) pada 29 Januari ini sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang dijangka bila-bila masa sahaja lagi.

Ahli Parlimen Miri Dr Michael Teo berkata BGU masing-masing akan dilancar di Miri, Sibu dan Kuching sebagai bilik operasi untuk pilihan raya akan datang.

“Dr Wan Azizah akan melancarkan dua BGU iaitu masing-masing bagi Miri (pada 29 Januari merangkumi operasi bagi Miri, Limbang, Lawas, Bintulu dan Baram) dan Sibu pada 30 Januari,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Dr Teo berkata pada sebelah paginya, Dr Wan Azizah akan turun padang berjumpa rakyat di lokasi diberitahu kelak sementara pada sebelah malamnya mengadakan ce-ramah sempena majlis makan malam.

“Dr Azizah akan berceramah pada majlis makan malam seterusnya melancarkan manifesto pilihan raya Sarawak iaitu ‘Demi Sarawak: 4 Better Future Of Sarawak’ pada malam berkenaan,” jelasnya.

BGU di Kuching pula kata Dr Teo, akan disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor Azmin Ali pada 31 Januari.

Dalam perkembangan lain, beberapa isu akan dibawa ke tengah semasa pilihan raya kelak dan antaranya kekurangan bilik bedah di Miri serta rakyat Sarawak terpaksa menganggur kerana tiada peluang pekerjaan.

“Hospital Miri sepatutnya mempunyai enam bilik operasi bedah berbanding dua bilik ketika ini dan ramai pesakit terpaksa me-nunggu tempoh yang agak lama untuk pembedahan,” jelasnya.

Menurutnya, Hospital Miri 10 tahun lalu mempunyai tiga bilik operasi bedah namun selepas berpindah ke tempat baharu, jumlah itu telah dikurang kepada dua bilik.

“Sepatutnya hospital besar seperti Miri mempunyai lebih tiga bilik operasi bedah kerana bukan rakyat tempatan sahaja yang memerlukan pembedahan tetapi pekerja asing termasuk pesakit luar Miri,” jelasnya.

Bagi isu peluang pekerjaan pula, Dr Teo memaklumkan bahawa ramai rakyat Sarawak terpaksa mencari peluang pekerjaan di luar Sarawak termasuk di Kuala Lumpur, Johor dan Singapura.

“Yang peliknya, pekerja asing lebih 20,000 orang pula mengisi kekosongan pekerjaan di Sarawak. Dan, kita akan membawa isu ini dalam kempen pilihan raya kelak,” katanya.

Satu lagi isu hangat menurutnya ialah penjaja kecil-kecilan di Tamu Kedayan hilang punca rezeki selepas bangunan lama dirobohkan tanpa diganti lokasi berniaga yang baharu.

Sementara itu, mereka yang berminat hadir ke majlis makan malam bersama Presiden PKR boleh mendapatkan tiket dengan menghubungi Bill Kayong (019-8745020) atau Steve Teo (01115080200).

- Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget