PKR sedia bekerjasama elak pertindihan kerusi



SIBU: Parti Keadilan Rakyat (PKR) bersedia bekerjasama dengan mana-mana parti pembangkang di negeri ini asalkan mempunyai hala tuju sama, kata Naib Presiden PKR Dr Xavier Jayakumar.

Jelasnya, parti tidak mempunyai masalah bekerjasama dengan parti pembangkang lain dalam usaha mengukuh kekuatan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“Justeru, PKR tidak mempunyai keuntungan seandainya bertanding di tiga penjuru atau berlawan sesama sendiri. Adalah lebih baik jika satu lawan satu dengan Barisan Nasional (BN).

“Kita tidak mahu sebarang pertindihan kerusi dengan parti pembangkang lain pada PRN di negeri ini dan kita berharap mampu menyelesaikan masalah ini dengan secepat mungkin memandangkan pilihan raya semakin dekat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam ‘Dua Ribu Enam Juta dan Malam Sejalai 26’ anjuran PKR di sebuah restoran terkemuka di sini, kelmarin.

Hadir sama Bendahari PKR Dr Tan Yee Kiew, Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian, Naib Pengerusi PKR Sarawak Abang Zulkifly dan pengerusi jawatankuasa pengelola George Chen.

Sehubungan itu, Xavier yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Andalas memberitahu bahawa perjanjian akan dimeterai antara pucuk pimpinan PKR dalam Pakatan Harapan (PH) pada 9 Januari ini di Kuala Lumpur.

Majlis itu akan dihadiri oleh Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail, Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP) Lim Guan Eng dan Presiden Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu.

“Perjanjian persefahaman ini akan ditandatangani bersama bagi menguatkan PH menentang kerajaan,” jelasnya.

Majlis pada malam itu juga berjaya mengumpul dana sebanyak RM9,902 termasuk derma daripada Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan Hee Loy Sian sebanyak RM3,000 dan RM2,000 daripada Timbalan Ketua Wanita PKR Haniza Talha.

Selain itu, beberapa calon berpotensi PKR yang dijangka akan bertanding pada PRN akan datang telah diperkenal pada majlis tersebut.

Mereka terdiri daripada Abdul Raafidin Majidi yang akan bertanding di DUN Nangka, Simon Joseph (DUN Tamin), Abun Sui (DUN Murum), Steve Teo (DUN Senadin), George Chen (DUN Machan), Abang Zulkifly (DUN Lingga), Semana Sawang (DUN Meluan) dan Thomas Laja (DUN Ngemah).-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget