Pertemuan Najib dan Adenan tunjuk hasil positif


KUCHING: Pertemuan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung penyelesaian penurunan kuasa kepada kerajaan negeri menunjukkan hasil positif.

Menurut sumber, hasil daripada pertemuan itu Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohd Morshidi Abdul Ghani akan merangka dokumen berkenaan.

Ujarnya, ia adalah untuk perjanjian rasmi berkaitan penurunan kuasa daripada kerajaan pusat kepada negeri.

“Mesyuarat (perjumpaan) antara Ketua Menteri dan Perdana Menteri menunjukkan hasil positif.

“Setiausaha Kerajaan Negeri akan merangka dokumen untuk perjanjian rasmi mengenai perkara berkaitan penurunan kuasa kepada kerajaan negeri,” katanya.

Menurut beliau, Adenan dijangka mengadakan sidang media mengenai perkara itu pada bila-bila masa sahaja dan beliau dijangka pulang ke sini pada hari ini.

Pada Sabtu lepas, Adenan mengumumkan untuk berjumpa Najib pada 20 Januari bagi menyelesaikan perkara berkaitan penurunan kuasa kepada Sarawak.

Berucap merasmikan Program Sejiwa Senada 2016 Bahagian Sibu, Adenan berkata Sarawak mahu agar dikembalikan kuasa pentadbiran yang pernah dimilikinya dan diambil oleh kerajaan pusat memandangkan ia penting bagi pembangunan negeri khasnya penduduk di luar bandar.

Menurut beliau, perbincangan mengenai perkara terbabit akan memakan masa namun percaya ia akhirnya akan dipersetujui kerajaan pusat.

- Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget