“Kira-kira 60 peratus ahli DAP di negeri itu diwakili etnik Dayak, Iban, Bidayuh, Orang Ulu manakala selebihnya keturunan Cina dan Melayu-Melanau,” kata Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen.
Baru-baru ini, Menteri Komunikasi dan Media, Datuk Seri Salleh Keruak dalam tulisan di blognya yang dipetik portal tempatan mendakwa, usaha DAP meletak lebih ramai calon Melayu tidak mengubah hakikat kononnya ia sebuah parti berasaskan kaum Cina.
Naib Pengerusi DAP Sarawak, Leon Jimat Donald pula berkata, ia menunjukkan perjuangan DAP semakin diterima termasuk dari kalangan masyarakat Dayak dan Melayu–Melanau, sekaligus menjadi mimpi ngeri kerajaan Barisan Nasional.
“DAP Sarawak akan menonjolkan lebih ramai calon dari masyarakat Dayak dan Melayu-Melanau pada pilihan raya akan datang.
“Mereka mulai sedar betapa rakusnya pemimpin BN dan kroni mereka. Kini rakyat menerima DAP sebagai wadah perjuangan. Kesedaran itu mengugat kekuasaan BN di negeri ini yang selama ini dianggap ‘fixed deposit’ mereka.
“Tak timbul isu kaum di Sarawak. Rakyat tahu UMNO BN pentingkan kroni sahaja. Kenyataan Salleh Keruak cuba mengaburi rakyat tetapi pimpinan DAP berdisiplin, fokus, dedikasi dan teguh dengan prinsip,” katanya.
Kata Ahli Jawatankuasa DAP Sarawak, Mordi Bimol, salah faham DAP hanya dilihat mewakili satu kaum berikutan dominasi populasi sesebuah kaum di bandar yang capaian maklumat lebih mudah berbanding luar bandar.
“Ini perang persepsi pihak lawan. Di Sarawak, sekitar 60 peratus ahli DAP terdiri dari masyarakat Dayak tetapi ia tidak bermakna DAP bertukar kepada ‘Dayak Action Party’! DAP tetap parti untuk semua rakyat pelbagai kaum!” katanya.
Pengerusi DAP Betong, Gerald Anding pula percaya DAP mudah diterima masyarakat Dayak kerana komitmen dan perjuangannya untuk semua kaum sebaliknya BN menggunakan sentimen perkauman untuk menakut-takutkan rakyat.-Roketkini
Post a Comment