Nasrudin tarik tuduhan terhadap Guan Eng selepas solat 2 rakaat


Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan berkata beliau menunaikan solat 2 rakaat bagi memohon petunjuk Allah sebelum mengambil keputusan menarik balik tuduhannya terhadap Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan membayar kos guaman sebanyak RM10,000.

Ahli Parlimen Temerloh itu berkata, beliau tidak memohon maaf kepada ketua menteri Pulau Pinang itu tetapi menarik balik sebahagian daripadanya yang menimbulkan salah faham.

Nasrudin berkata demikian dalam tulisannya ekoran keputusan mahkamah tinggi Pulau Pinang yang menerima penarikan saman Lim selepas menarik balik tulisan itu dan membayar kos guaman.

Susulan tindakan Nasrudin itu, pelbagai pihak memperlekehkannya dengan anggapan beliau hanya berani membuat tuduhan.


Kenyataan Nasrudin "siku dan lututnya" juga dikaitkan dengan kes penarikan balik kenyataannya itu.

Nasrudin berkata, beliau tiba di Mahkamah Tinggi Georgetown kira-kira jam 9.30 pagi dan terus dipanggil peguam untuk memaklumkan tawaran penyelesaian di luar mahkamah daripada pihak plaintif dengan menuntutnya meminta maaf.

"Beberapa masa diambil untuk saya berbincang dengan pihak peguam saya, juga mengambil kira pandangan kedua-dua pihak, akhirnya saya mengambil keputusan untuk solat 2 rakaat bagi memohon petunjuk Allah," tulis Nasrudin dalam akaun Facebooknya.

Katanya, pada jam 10.20 pagi, beliau membuat keputusan tidak akan memohon maaf dan mengarahkan peguamnya agar meneruskan perbicaraan kes saman yang berkait dengan penulisan bertajuk "Apa beza Kidex dan Penang Tunnel" yang disiarkan pada 6 Ogos, 2014.

Pada jam 10.30 pagi, sekali lagi beliau dipanggil untuk menyelesaikan kes sebagai rundingan di luar mahkamah di kamar hakim secara mediasi (satu proses runding cara dengan tujuan penyelesaian di luar mahkamah bagi kes sivil).

"Namun saya tetap menegaskan saya tidak akan memohon maaf kerana penulisan saya tidak bermaksud memfitnah plaintif,” katanya.

Selepas rundingan diteruskan, akhirnya kedua-dua pihak bersetuju dengan penyelesaian menerusi rundingan di luar mahkamah itu tanpa beliau memohon maaf dan tidak memanjangkan kes serta menarik balik pada sebahagian daripada artikelnya yang menimbulkan salah faham seperti disiarkan dalam akaun Facebook tahun lalu.

"Pada jam 11.30 pagi, Hakim memutuskan penyelesaian kes dicapai di luar mahkamah dengan memerintahkan kos mahkamah sebanyak RM10,000," tulis Nasrudin.-Malaysian Insider

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget