Kerajaan negeri prihatin kebajikan rakyat


SANTUBONG: Keriangan dan keceriaan jelas terpancar di wajah anak-anak penerima bantuan beg sekolah dan alat tulis yang disumbangkan pada Majlis Pengagihan Beg Sekolah dan Alat Tulis Sekolah bagi Zon Santubong, semalam.

Diadakan di Dewan Masyarakat Kampung Sungai Lumut di sini, majlis berjalan lancar dengan kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai Dr Abdul Rahman Junaidi.

Beliau ketika memberi ucapan pada majlis itu berkata, bantuan sedemikian bertujuan untuk membantu keluarga yang kurang berkemampuan yang mempunyai anak yang masih bersekolah.

Selain itu, ia juga diharap dapat memupuk minat pelajar untuk lebih rajin ke sekolah sekali gus mencapai kecemerlangan dan mengubah nasib keluarga ke arah kehidupan yang lebih terjamin pada masa akan datang, ujarnya.

“Seperti yang sering saya uar-uarkan, kerajaan negeri amat prihatin terutama menyentuh kebajikan rakyat.

“Kami tidak mahu melihat anak-anak dari golongan yang kurang berkemampuan tercicir dalam persekolahan kerana menanggung kepayahan hidup ibu bapa.

“Justeru, dengan adanya bantuan seumpama ini, ia diharap dapat memupuk minat serta semangat anak-anak untuk terus rajin ke sekolah dan menuntut ilmu untuk masa depan yang lebih cerah,” katanya.

Selain itu, katanya, selain dipengaruhi oleh kepimpinan dan didikan barisan pendidik, ibu bapa dan masyarakat sekeliling juga seharusnya memainkan peranan penting bagi melahirkan generasi bijak pandai pada masa akan datang.

Jelasnya, dengan adanya sokongan dan galakan daripada masyarakat khusus kepada institusi persekolahan, maka perjalanan menuju kecemerlangan akan menjadi lebih mudah buat anak-anak pelajar.

“Pada masa sama, saya berharap agar anak-anak kita khususnya dalam kawasan Pantai Damai yang menuntut ilmu tidak terhenti di peringkat sekolah menengah sahaja.

“Saya mahu melihat ada di antara mereka yang akan melanjutkan pengajian ke peringkat universiti malah lebih tinggi lagi sekali gus mengharumkan nama Pantai Damai, amnya dan nama keluarga, khasnya,” tegasnya.

Majlis Pengagihan Beg Sekolah dan Alat Tulis Sekolah itu dianjurkan oleh Biro Pendidikan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Pantai Damai yang melibatkan tiga zon merangkumi Zon Telaga Air, Zon Seberang Hilir serta Zon Santubong.

Semalam, seramai 100 murid sekolah rendah meliputi enam buah sekolah di Zon Santubong menerima bantuan barangan persekolahan berupa beg sekolah dan alat tulis.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget