GST jadi penyelamat kewangan, ekonomi negara, kata Najib


Perdana menteri berkata, pengenalan cukai tersebut yang sudah masuk 9 bulan pelaksanaan memberi faedah dan manfaat dalam meningkatkan pendapatan negara.

"Boleh saya katakan, GST ini adalah penyelamat kepada kewangan kerajaan dan ekonomi negara," katanya yang juga menteri kewangan pada perhimpunan khas bersama warga Kementerian Kewangan di Putrajaya pagi ini.

Setakat Disember 2015, hasil kutipan bersih GST diunjurkan sebanyak RM27.126 bilion, daripada kutipan kasar sebanyak RM37.67 bilion.

Kutipan bersih GST ini dianggarkan akan meningkat kepada RM39 bilion pada tahun ini.

Menurut Najib, cukai tersebut yang walaupun menjadi kontroversi, daripada aspek mikronya juga menampung hasil kerajaan yang mengalami pengurangan hasil cukai petroleum.

Menyifatkan tahun 2016 sebagai lebih mencabar, Najib berkata jangkaan pendapatan negara daripada petroleum akan menyusut sebanyak RM30 bilion.

"Harga minyak juga dijangka kekal rendah pada 2016. Penyusutan pendapatan kerajaan dianggarkan lebih RM30 bilion.
"Tetapi kalau kekal pada paras AS$32, AS$35 atau AS$36 setong, penyusutannya lebih RM30 bilion," katanya.

Malah Najib juga berkata, jika GST tidak diperkenalkan, kemungkinan defisit negara meningkat kepada 4.8% pada 2016.

"Mujur kita laksana GST, jika tidak, defisit negara akan meningkat kepada 4.8% dan bukan lagi 3.1% pada 2016," katanya.

Selain itu, Najib juga berkata GST turut membantu kerajaan dalam meneruskan pembangunan kepada rakyat dan membantu rakyat yang memerlukan menerusi pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang dinaikkan semasa pembentangan Bajet 2016.

"Mana mungkin kerajaan dapat melaksanakan projek pembangunan seperti jalan raya, hospital, sekolah, beri bantuan BR1M dan sebagainya kepada rakyat jika kita tidak mempunyai kutipan hasil mencukupi," katanya.

GST diperkenalkan pada April 2015, namun cukai pengguna tersebut dikritik kerana menjadi penyebab kepada kenaikan harga barang dan rakyat terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi. – Malaysian Insider
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget