'Gencatan senjata’ Pas-UMNO


KUALA LUMPUR  – Pas tidak lagi akan melawan UMNO de­ngan emosi dan amarah, sebaliknya menggunakan kaedah ilmu, iman dan kematangan.

Ketua Dewan Pemuda Pas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menegaskan, ‘gencatan senjata’ antara kedua-dua parti itu disifatkan sebagai satu proses pembaharuan dalam parti tersebut.

“Telah berakhir dalam Pas era melawan UMNO dengan emosi dan amarah. Bermulalah melawan UMNO dan semua pemuka kemungkaran dengan ilmu, iman dan kematangan.

“Itulah penambahbaikan dalam Pas melalui proses tajdid yang dituntut oleh agama. Dengannya, Pas akan lebih kuat dan lebih bersedia memimpin negara,” katanya menerusi laman sosial Facebooknya hari ini.

Baru-baru ini, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang me­negaskan bahawa parti itu bersedia bertindak sebagai penasihat bagi membantu kerajaan Barisan Nasional (BN) mentadbir negara de­ngan sebaik-baiknya demi kepen­tingan rakyat.

Rentetan itu, Abdul Hadi memperjelaskan konsep nasihat Pas itu iaitu bukan merampas kuasa semata-mata kerana singgahsana, kerusi dan pangkatnya, tetapi menjadi penyelamat.

Dalam mesej yang disiarkan Utusan Malaysia pada 26 Disember lalu, Abdul Hadi berkata, usaha permulaan ialah menasihati pihak yang berkuasa supaya meninggalkan kemungkaran kepada yang baik atau akhirnya kalau mereka tidak berubah caranya mengambil alih kuasa menjadi penyelamat tanpa dendam kesumat.

Nasihat juga tegas Abdul Hadi, perlu kena pada tempat dan ke­adaan.

Kenyataan Abdul Hadi itu dibuat berikutan isu kerjasama antara UMNO dan Pas selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sekali lagi menghulurkan salam perpaduan kepada Abdul Hadi ketika merasmikan Majlis Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia 2015 selepas disuarakan kali pertama Perdana Menteri pada Perhimpunan Agung UMNO 2015 awal bulan lalu.

- Utusan Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget