Ahli Parlimen DAP mahu jawatankuasa Parlimen selesai isu tukar agama anak


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu menubuhkan sebuah jawatankuasa Parlimen bagi menangani kebuntuan dalam kes penukaran agama secara unilateral kanak-kanak bukan Islam kepada Islam oleh salah seorang ibu atau bapa, kata M Kula Segaran hari ini.
Naib pengerusi kebangsaan DAP itu berkata, jawatankuasa itu hendaklah diwakili semua parti politik bagi mencari penyelesaian kepada isu itu, memandangkan mahkamah sivil enggan membuat keputusan dalam pertikaian tersebut dan menyerahkannya kepada mahkamah syariah.
Kula Segaran, yang juga peguam mewakili guru tadika M Indira Gandhi yang terlibat dalam pertikaian ke atas agama anak-anaknya, berkata jawatankuasa Kabinet sedia ada ditugaskan menangani isu itu tidak berkemampuan dan kurang daya kepimpinan.
"Kita berada dalam keadaan terawang-awang dan lumpuh. Isu penukaran agama ini perlu diselesaikan oleh Parlimen dan mesti ada kehendak politik yang kuat.
"Setakat hari ini, kerajaan dan Jawatankuasa Penukaran Agama berada dalam keadaan buntu tanpa satu keputusan yang jelas. Ini kerana, isu ini rumit, sensitif dan sukar diselesaikan,"  kata ahli Parlimen Ipoh Barat itu dalam satu kenyataan.
"Oleh itu, saya menyeru perdana menteri membentuk sebuah jawatankuasa Parlimen dianggotai semua parti bagi merangka satu formula 'menang-menang' untuk isu rumit ini, supaya kita boleh mempunyai satu penyelesaian muktamad," katanya.
Katanya, beliau pernah mencadangkan perkara sama kepada Putrajaya pada Jun 2014.
"Tetapi, sedih sekali, cadangan saya tidak dipertimbangkan."
Mahkamah Rayuan pada 30 Disember memutuskan pertikaian mengenai agama anak di bawah umur yang ditukarkan agama kepada Islam oleh salah seorang ibu atau bapa terletak di bawah bidang kuasa mahkamah syariah.
Kes di hadapan mahkamah adalah penukaran agama 3 kanak-kanak dilakukan bekas suami Indira, Mohd Riduan Abdullah (dulunya K Pathamanathan), tanpa persetujuan ibu mereka.
Mahkamah Tinggi Ipoh pada 2013 memutuskan sijil penukaran agama kanak-kanak itu batal dan tidak sah serta penukaran agama mereka tidak mengikut undang-undang.
Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan kini membatalkan keputusan itu, dan Kula Segaran menyifatkan ia 1 "gelombang kejutan" kepada semua.
"Isu pertindihan (keputusan mahkamah) timbul seperti dalam kes Indira, apabila salah seorang daripada pasangan memeluk Islam, tetapi seorang lagi kekal bukan Islam.
"Keputusan majoriti hakim Mahkamah Rayuan berkata, isu Indira termasuk dalam bidang kuasa eksklusif Mahkamah Syariah.
"Tetapi dalam undang-undang, beliau tidak mempunyai hak untuk didengar di Mahkamah Syariah. Beliau secara terbuka berkata, sebagai seorang Hindu, beliau mahu perkara itu diselesaikan di Mahkamah Sivil. 
"Sekarang, di mana dia boleh mendapatkan remedi, kalau ada pun?" soal Kula Segaran.
Beliau juga membidas Presiden MIC Datuk Dr S Subramaniam kerana ketidakmampuannya membawa isu itu ke hadapan walaupun duduk dalam jawatankuasa Kabinet itu yang ditubuhkan pada 2009 untuk menangani pertikaian mengenai penukaran agama secara unilateral.
Kabinet pada tahun itu bersetuju penukaran agama seperti itu dilarang sama sekali dan menambah, ia 1 kaedah yang digunakan sesetengah pasangan untuk lari daripada tanggungjawab dalam perkahwinan sivil dan untuk mendapatkan hak penjagaan anak.
"Subramaniam dilantik ke dalam jawatankuasa ini. Satu jawatankuasa sama dihidupkan semula selepas pilihan raya umum 2013 dengan (menteri undang-undang) Nancy Shukri dan (Datuk Seri) Jamil Khir Baharom sebagai pengerusi bersama jawatankuasa itu. 
"Nampaknya, Subramaniam ahli jawatankuasa itu. Apa yang dilakukannya setakat ini untuk mencari penyelesaian kekal kepada isu sensitif ini? Hanya mengeluarkan kenyataan untuk menyejukkan keadaan tidak membawa kita ke mana-mana."

- The Malaysian Insider.

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget