DAP cabar kerusi PAS hanya jika berpotensi menang


DAP hanya akan bertanding di kerusi PAS jika melihat ada potensi untuk mereka mendapat sokongan Melayu luar bandar, kata setiausaha agungnya, Lim Guan Eng.

“DAP tidak akan bertanding di semua kerusi PAS. Kita hanya bertanding di kerusi yang kita rasa pemimpin Melayu mampu untuk menyerlahkan diri mereka.

“Justeru, akan ada beberapa kerusi (PAS akan dicabar),” ujar Ketua Menteri Pulau Pinang itu.

Lim berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Dewan Ulamak PAS Datuk Mahfodz Mohamed bahawa parti itu tidak lagi terikat dengan konsensus Pakatan Rakyat dan berhak bertanding di semua kerusi ditandingi DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH).

Lim yang mengulas lanjut mengenai perkara itu berkata beliau bersetuju PAS mempunyai hak untuk bertanding di mana-mana kerusi pilihan parti itu tetapi ia tidak bermakna keputusan berkenaan adalah cadangan yang baik.

"Jika mereka mahu bertanding di setiap kerusi, itu pilihan mereka. Jadi sekarang, kita boleh lihat siapa yang memburuk-burukkan (DAP) dan memberi masalah," katanya.

Bayangan awal

Ketika ditanya mengenai pelantikan "penyelaras DAP" di dua kerusi Selangor yang kini dipegang oleh PAS, Lim enggan mengesahkan parti itu akan bertanding di situ pada pilihan raya umum akan datang.

"Kami sudah tentu berminat tetapi kami hanya melihat kerusi yang saya fikir mempunyai peluang untuk mencapai kejayaan.

"Saya rasa kita juga mesti menunjukkan keyakinan terhadap ahli Melayu," kata Lim.

Beliau sebelum itu hadir di majlis pelancaran lori Impian Malaysia di Subang Jaya hari ini.

DAP membayangkan parti itu akan meletakkan calon di lapan kerusi yang ditandingi PAS Selangor.

Bulan lalu DAP melantik Young Syefura Othman sebagai penyelaras bagi kerusi Dusun Tua di Hulu Langat, manakala Edry Faizal Edry Yusof untuk Taman Templer.

Dalam pilihan raya umum lalu PAS meletakkan 20 calon di Selangor dan memenangi 15 daripadanya.

Bagaimanapun dua daripada mereka kini menjadi anggota Parti Amanah Negara (AMANAH).

- Malaysiakini

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget