Bantah TPPA: Puluhan ribu ahli PAS dijangka hadir


KUALA LUMPUR: Puluhan ribu ahli PAS dari seluruh negara dijangka akan membanjiri Dataran Merdeka pada 23 Januari ini bagi menyertai Himpunan Aman Membantah TPPA.

Ketua Penerangan PAS Pusat Nasrudin Hassan berkata, PAS telah mengerahkan ahlinya seramai mungkin supaya menyertai himpunan aman itu nanti.

Beliau juga mengajak ahli PAS menyarungkan semula jersi hijau Fastaqim bersama lilitan hitam Bantah TPPA di dalam himpunan itu nanti.

"Sekaligus menghijaukan Dataran Merdeka pada 23 Jan 2016 ini (sabtu), dengan semangat yang jernih dan murni untuk menghantar isyarat yang jelas kepada kerajaan Malaysia agar menolak TPPA," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau berkata, konsep himpunan itu nanti membawa mesej secara santai tanpa provokasi oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab.

Jelasnya, semarak kebangkitan anak muda khasnya dan rakyat amnya untuk meninggikan Syariat Allah SWT menentang kebathilan dan membina Malaysia yang sejahtera adalah suatu yang tidak boleh dibendung lagi.

"Fastaqim! Adalah perintah Allah SWT untuk seluruh hamba-Nya bangkit menunaikan titah perintah yang telah termaktub di dalam kitab suci al-Quran. Antaranya ialah menentang segala jenis kemungkaran. Sama ada kemungkaran politik mahupun ekonomi," kata beliau.

Tegas beliau, TPPA sebahagian daripada kemungkaran ekonomi yang wajar ditentang dan dibantah oleh umat Islam khasnya. Hal ini kerana TPPA bakal membawa malapetaka kepada penguasaan ekonomi rakyat tempatan dan masa depan negara yang bakal terjajah tanpa sedar melalui sebuah perjanjian yang menambat kaki dan tangan kita.

"Hak bumiputera terancam, industri tempatan musnah, negara hilang kedaulatan, kuasa besar ekonomi mencengkam negara, harga barangan meningkat, kos sara hidup menjulang tinggi dan rakyat menjadi bangsat di bumi sendiri. Inilah kesan dan risiko yang bakal terhasil dari perlaksanaan TPPA sebagai sebuah perjanjian kerjasama rantau pasifik,"ujar beliau.

Nasrudin yang juga Setiausaha Kongres Rakyat berharap pihak berkuasa memberi kerjasama yang baik untuk kesuburan demokrasi negara ini.

"Begitu juga harapan saya agar seluruh rakyat Malaysia turut membantah TPPA ini dan kerajaan menarik diri dari menyertai perjanjian ini," tambah beliau.

Selain menyertai Himpunan aman Membantah TPPA, PAS akan turut membantah perjanjian itu di dalam perbahasan pada Sidang Khas Parlimen di Dewan Rakyat yang akan bermula pada 26 dan 27 Januari ini.

- Harakah Daily
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget