Sarawak berpotensi jadi negeri perindustrian, kata Ahmad Maslan


Sarawak berpotensi menjadi sebuah negeri perindustrian berdasarkan prestasi pertumbuhan sektor itu sejak 5 tahun lepas, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ahmad Maslan.

Beliau berkata Sarawak menerima pelaburan ke-2 tertinggi selepas Johor, diikuti Melaka. Menurutnya pada 2011, Sarawak menerima pelaburan berjumlah RM8.453 bilion, turun kepada RM4.728 bilion pada 2012 sebelum melonjak kepada RM8.276 bilion pada tahun berikutnya dan meningkat kepada RM9.64 bilion pada 2014.

"Untuk tempoh Januari hingga September tahun ini, jumlah pelaburan yang diterima negeri Sarawak sudah mencecah RM11.759 bilion, iaitu RM11.151 bilion pelaburan dalam negeri manakala pelaburan asing bernilai RM608.5 juta," katanya hari ini.

Statistik itu menunjukkan Sarawak kini menjadi pilihan pelabur disebabkan iklim pelaburan yang sihat dengan tarif elektrik lebih kompetitif serta harga tanah lebih rendah selain insentif yang ditawarkan kerajaan negeri dan pusat.

Katanya antara kawasan tumpuan pelabur ialah Taman Perindustrian Samalaju dan Kemena di Bintulu, Tanjung Manis di Sarikei serta estet perindustrian di Sibu dan Demak Laut di Kuching.

Menurutnya Sarawak juga mencatatkan peningkatan prestasi perdagangan iaitu RM100.42 bilion pada 2011, meningkat kepada RM103.63 bilion pada 2012, RM108.40 bilion (2013) dan RM116.67 bilion pada 2014.

Bagi tempoh Januari hingga September tahun ini, Sarawak mencatatkan perdagangan bernilai RM66.82 bilion, katanya. – Bernama

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget