KUCHING: Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak akan melancarkan kempen pilihan raya pada bulan depan dengan bertemakan ‘Rakyat Sarawak membuat perbezaan dengan memaksa Najib bersara awal’.
Pengerusinya Chong Chieng Jen berkata mereka percaya Pilihan Raya Negeri (PRN) akan diadakan pada Mac tahun depan.
“Kempen kami akan bermula pada Januari tahun depan… ini adalah pilihan raya penting kerana ramai rakyat Malaysia mahukan Najib meletak jawatan sebelum Pilihan Raya Umum akan datang.
“Orang Sarawak turut memainkan peranan penting dan boleh membuat perubahan untuk memaksa Najib bersara awal demi menyelamatkan Malaysia,” katanya pada sidang media di ibu pejabat DAP Sarawak di sini, semalam.
Menurut Chong yang juga Ahli Parlimen Bandar Kuching, usul undi tidak percaya sepatutnya dibentangkan di Parlimen pada persidangan lepas untuk menyeru Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berundur tetapi ia tidak berlaku.
Beliau berkata rakyat Malaysia turut menjangkakan Najib akan dipaksa meletak jawatan semasa perhimpunan UMNO yang baharu berakhir namun tiada apa-apa yang telah berlaku.
“Oleh itu, pilihan ketiga ialah pilihan raya Sarawak kerana majoriti rakyat Malaysia sangat kecewa Najib masih menjadi Perdana Menteri.
“Jika kami (pembangkang) boleh mencapai sasaran mengalahkan Barisan Nasional (BN) dengan majoriti dua pertiga atau memenangi 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) maka akan ada tekanan ke atas ahli-ahli UMNO untuk memaksa Najib berundur,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa rakyat Malaysia tidak harus membenarkan Najib kekal sebagai Perdana Menteri selama dua tahun lagi kerana ia akan menjadi bencana paling besar dalam sejarah negara terutama dari segi kemerosotan ekonomi.
“Rakyat Sarawak perlu menghantar mesej yang kuat pada Pilihan Raya Negeri akan datang bahawa rakyat Sarawak tidak bersetuju dengan Najib,” katanya.
Dalam pada itu, Chong yang juga ADUN Kota Sentosa mengutuk kerajaan negeri kerana tidak bersuara terhadap jemputan UMNO kepada PAS baru-baru ini untuk kemungkinan bekerjasama dalam beberapa usaha berkaitan agama.
“Ini mencerminkan BN Sarawak selaku pemerintah negeri akan bersama-sama dengan UMNO dalam apa sahaja perkara,” katanya.-Utusan Borneo
Post a Comment