Isu air: Jawapan Entri diibarat melepas batuk di tangga


KUCHING: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Sarawak menyifatkan jawapan yang diberi Menteri Muda Kemudahan Awam (Bekalan Air) Datuk Sylvester Entri ketika Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berlangsung Selasa lalu sebagai jawapan ibarat melepas batuk di tangga.

Setiausaha PAS Batang Lupar Mohd Asri Mostapha melahirkan keluhan itu sebagai mengulas jawapan yang diberi tentang isu bekalan air bersih dan bekalan elektrik di kawasan Beting Maro yang merujuk soalan Razaili Gapor (BN-Beting Maro).

“Seperti apa yang dilihat mengenai jawapan yang telah diberi, projek air itu sudah lama dijalankan, namun mengapa tekanan air masih pada paras yang lemah?

“Justeru saya memohon pihak kementerian berwajib untuk mencari solusi sementara bagi menyelesaikan perkara ini yang telah lama menghantui kehidupan penduduk di sana (Beting Maro),” tegasnya ketika menghubungi Utusan Borneo, baru-baru ini.

Selain itu, beliau turut mahu penjelasan berhubung pelaksanaan projek tersebut yang perlu disegerakan kerana menurut jawapan yang diberikan Entri, langsung tidak dinyatakan tarikh sebagai permulaan projek dan ia hanya menyatakan tarikh siap iaitu pada 2017.

Katanya ia juga belum lagi mengambil kira mengenai kontraktor kerana adakah kontraktor yang dilantik benar-benar berkeupayaan untuk menyiapkan projek tersebut mengikut tempoh yang telah ditetapkan.

“Sedangkan rakyat di Beting Maro mahukan masalah itu diselesaikan dengan segera kerana mereka sudah terlalu lama menunggu kemudahan asas ini untuk keselesaan seharian.

“Saya berharap pihak berwajib tidak hanya memberi jawapan sekadar untuk mengaburi mata rakyat,” tegasnya.

Dalam perkembangan lain, beliau turut mengaitkan permasalahan yang timbul pada projek pembinaan Jambatan Pusa yang sehingga kini belum disiapkan sedangkan sudah beberapa kali projek itu dibiarkan terbengkalai.

“Ini juga merupakan contoh keperluan utama di Pusa yang gagal diuruskan oleh kerajaan negeri untuk siap mengikut jadual yang telah ditetapkan,” katanya.

- Borneo Post Online
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget