75% pengundi DUN Nangka disasar keluar mengundi


SIBU: Bagi menjamin kemenangan, Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyasar 75 peratus pengundi di kawasan DUN Nangka keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun depan.

Ketua Angkatan Muda (AMK) Pahang Wong Chun Yuan berkata kerusi DUN Nangka merupakan antara kerusi menjadi keutamaan kepada PKR pada PRN akan datang.

“Pada pilihan raya sebelum ini hanya 65 peratus keluar mengundi. Jumlah itu bersamaan dengan satu daripada tiga orang pengundi tidak keluar mengundi.

“Semasa pilihan raya lalu saya melihat banyak pengundi bekerja di Semenanjung Malaysia tidak pulang mengundi,” katanya sambil meminta rakyat Sarawak berada di luar negeri pulang mengundi pada PRN tahun depan.

Wong berkata demikian pada sidang media pelancaran kaunter Khidmat Nasihat Undang-Undang percuma di Pasar Sungai Merah di sini semalam.

Kehadiran beliau di sini adalah bagi memberi sokongan kepada Ketua AMK Sarawak Abdul Raafidin Majidi sebagai calon PKR di kerusi DUN Nangka yang diumumkan oleh Naib Presiden PKR Dr A Xavier Jayakumar.

Hadir sama Ketua AMK Wilayah Persekutuan Hazrul Fahmi Ahmad dan Naib Ketua AMK Perak Sandrea Ng.

Sementara itu, Sandrea berkata mengikut statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kira-kira empat juta golongan belia mencapai usia 21 tahun ke atas atau layak mengundi masih belum mendaftar sebagai pengundi.

Justeru, beliau meminta golongan belia segera mendaftar sebagai pengundi pada PRN akan datang.

“PRN bakal berlangsung tahun depan bermakna bulan Disember ini merupakan tempoh terakhir bagi mereka mendaftar sebagai pengundi.

“Ambil peluang ini mendaftar sebagai pengundi dan mengundi untuk perubahan sekiranya mereka tidak bersetuju dengan polisi atau pelan pembangunan negara pada masa kini,” katanya.

Berhubung kaunter Khidmat Nasihat Undang-Undang itu, Raafidin memberitahu kaunter tersebut dibuka jam 8 hingga 10 pagi setiap Ahad minggu pertama dan ketiga.

“Selain memberi khidmat nasihat guaman secara percuma, tujuan utama program di Sungai Merah adalah berjumpa dengan pengundi berbangsa Cina di sini.

“Kami percaya untuk mencapai kemenangan kami tidak mahu bertindak pada saat akhir, kerana itu kami bermula lebih awal.

“Kami akan mengadakan pelbagai program sekitar kawasan Nangka, khidmat nasihat guaman merupakan langkah permulaan kami,” katanya yang merupakan seorang peguam undang-undang sivil dan syariah.

- Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget