KUALA LUMPUR - Pergerakan, penyebaran serta pegaruh militan IS di kalangan mahasiswa di negara ini dilihat semakin serius apabila rekod tangkapan sejak 2013 hingga kini banyak melibatkan pelajar universiiti, kata Datuk Ayub Khan Mydin Pitchay.
Menurut Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman itu, lebih 150 orang anggota militan telah ditangkap sehingga kini dan ramai di antaranya adalah golongan muda, terpelajar atau ‘bijak pandai’.
“Kita dapat mengesan usaha kumpulan berkenaan menyebarkan pengaruh di kalangan pelajar universiti..ramai yang ditahan sebelum sempat menyempurnakan misi serta hajat mereka kononnya berjihad terutamanya di Syria sekaligus mendapat gelaran ‘mujahidin’ seperti yang digembar-gemburkan.
“Namun begitu, yang terlepas (ke Syria) dan lain-lain negara bagi menjadi militan tetap di bawah pemantauan...kita tidak akan lepas walau seorang apabila mereka pulang kembali ke Malaysia, yang balik pasti kita akan tangkap, tiada kompromi,” tegasnya.
Sementara itu, beliau turut menyambut baik cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu mewujudkan Mahkamah Khas bagi membicarakan kes militan di negara ini.
Menurutnya, perancangan tersebut membuktikan bahawa kerajaan sentiasa memandang serius dan melaksanakan pelbagai usaha dari semasa ke semasa bagi mengekang unsur-unsur ekstremis sekaligus menjaga keselamatan dan kedaulatan negara ini.
“PDRM sendiri mengharapkan agar rakyat di negara ini sentiasa berjaga-jaga dan tidak terpengaruh dengan fahaman militan yang disebarkan melalui pelbagai cara terutamanya jaringan media sosial yang tidak mempunyai batasan.
“Peranan serta didikan ibu bapa khususnya amat diperlukan dalam memantau anak masing-masing selain turut megambil tahu orang di sekeliling. Istilah ‘jangan jaga tepi kain orang’ dah tak boleh pakai..kita kena perhati juga jiran tetangga, orang sekeliling dan persekitaran bagi memastikan ancaman berkaitan dapat di banteras dari awal,” katanya.
- Sinar Online
Post a Comment