KUCHING: ADUN Dudong, Yap Hoi Liong akan memanggil Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Roslan Bek sebagai salah seorang saksi utama untuk kes yang mengaitkan ADUN Kota Sentosa, Chong Chieng Jen dan Ahli Parlimen Stampin, Julian Tan dengan saman perhimpunan Bersih 4.
Menurutnya, kedua-dua pemimpin DAP Sarawak itu didakwa bagi kesalahan yang dilakukan di bawah Seksyen 4 (2)(c) Akta Perhimpunan Aman 2012 iaitu melakukan kesalahan semasa perhimpunan BERSIH 4 yang diadakan di Padang Song Kheng Hai pada 29 Ogos lepas.
Yap sebagai peguam untuk kes tersebut menyatakan bahawa perhimpunan tersebut telah pun mendapat permit kebenaran dari pihak Polis.
"Chong dan Tan dikehendaki hadir ke mahkamah jam 9 pagi 14 Disember (hari ini) atau mereka akan dikenakan waran tangkap," kata Yap yang juga menyatakan bahawa mereka akan dikenakan denda sebanyak RM10,000 setiap seorang jika sabit kesalahan.
Walaubagaimanapun Chong ketika ditemui pada sidang akhbar di pejabat DAP Sarawak semalam menyifatkan tindakan ini merupakan penganiayaan politik terhadapnya.
"Setiap ADUN atau Ahli Parlimen yang didenda RM2,000 ke atas akan hilang kelayakan memegang apa-apa jawatan politik selama 5 tahun serta dilarang bertanding dalam pilihanraya," tegas Chong yang juga merupakan Ahli Parlimen Bandar Kuching.
Pengerusi DAP Sarawak itu menambah, tindakan ini dibuat oleh kerajaan memandangkan Pilihanraya Negeri Sarawak akan diadakan tidak lama lagi.
"Pegawai Polis yang menghantar saman kepada saya turut keliru dengan pertuduhan ini," ujar Chong yang melabelkan tindakan ini menunjukkan pihak Polis tidak profesional.
"Ini bukan kali pertama saya dianiaya dan saya tidak akan mengaku bersalah terhadap pertuduhan ini," tegas Chong.-SarawakLIVE
Post a Comment