MIRI: Ketua PKR Miri Dr Michael Teo yang pernah kalah tipis di kerusi Senadin yang ditandinginya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2011 memberitahu bahawa PKR Miri mahu menawan semula kerusi tersebut yang disifatkan sebagai kerusi panas di utara negeri ini pada PRN tahun depan.
Walaupun PKR tidak pernah memenangi kerusi Senadin secara rasmi namun dari segi sokongan, PKR memenangi pengundi di kerusi tersebut apabila Dr Teo mengalami kekalahan 58 undi kepada penyandangnya, Datuk Lee Kim Shin yang juga Menteri Muda Komunikasi dan Menteri Muda Sukan.
Dr Teo memperolehi 7,276 undi berbanding Lee yang memenangi kerusi dengan 7,334 undi menjadikan pertembungan kedua-duanya antara yang paling sengit pada PRN 2011.
“Selain Senadin, PKR akan kekal dengan dua kerusi yang mungkin ditandinginya iaitu Lambir dan Bekenu (jika tiada pertindihan dengan parti pembangkang lain),” katanya sambil mengakui PKR Miri sudah bersedia dan mempunyai beberapa senarai calon berpotensi dipertandingkan di ketiga-tiga kawasan tersebut jika perlu.
Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan senarai nama yang dipertimbangkan namun khabar angin menyatakan bahawa salah seorang daripadanya ialah Setiausaha PKR Miri Bill Kayong.
“Bagaimanapun, terserah kepada pemimpin parti peringkat atasan menentukan dan membuat keputusan akhir,” katanya sambil mengakui 15 nama sudah diumumkan oleh Naib Presiden PKR Dr Xavier Jayakumar di Kuching seperti disiarkan dalam akhbar semalam adalah kumpulan pertama disenarai pendek.
“Kita pasti PKR Pusat akan mendedahkan nama kumpulan kedua dan ketiga secara berperingkat,” katanya kepada Utusan Borneo di sini, semalam.
Berbanding kerusi Lambir dan Bekenu, PKR dijangka berdepan situasi sukar menentukan calon sesuai di Senadin berikutan wujud percanggahan dengan keputusan awal apabila PKR Pusat beria-ia mahu meletakkan Ketua Pemuda atau Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Miri Steve Teo yang dianggap tidak popular di kalangan penyokong parti itu.
Sedangkan di peringkat akar umbi, khususnya di kalangan ahli-ahli PKR Miri ramai mahukan Bill yang juga setiausaha peribadi Dr Teo diletakkan di kerusi tersebut untuk memberi saingan sengit kepada calon Barisan Nasional (BN) yang dijangka mengekalkan Lee di kerusi Senadin.
Malah, wujud spekulasi mengatakan Lee lebih ‘rela’ berdepan dengan Steve di Senadin.
“Kami di peringkat akar umbi tidak berpuas hati dengan pilihan awal PKR Pusat mahu meletakkan calon muda tanpa sebarang pengalaman dan tidak dikenali ramai.
“Malah kami juga tidak dimaklumkan mengenai pemilihan itu sedangkan kami mempunyai pilihan sendiri yang mendapat sokongan ramai peringkat akar umbi,” kata jurucakap peringkat akar umbinya.
Malah, mereka juga tidak pernah dipanggil atau mengadakan mesyuarat di peringkat cawangan bagi membincangkan perkara tersebut.
Sementara itu, Bill ketika dihubungi enggan mengulas lanjut berhubung isu tersebut sebaliknya memberitahu bahawa beliau sentiasa bersedia bertanding di Senadin jika pilihan PKR Pusat memihak kepadanya.
Pada Ahad lalu, Dr Xavier menamakan 15 calon PKR disahkan bertanding pada PRN akan datang iaitu Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian (Ba’ Kelalan), Naib Pengerusi PKR Sarawak Ali Biju (Kerian), Ketua Wanita PKR Sarawak Nurhanim Hanna Datuk Mokhsen (Tupong), Naib Ketua Wanita PKR Voon Siak Ni (Batu Kitang), See Chee Haw (Batu Lintang), Abang Zulkifli Abang Engkeh (Lingga), Norina Umoi (Simanggang), Yakup Daud (Saribas), Vernon Aji Kedit (Layar), George Chen (Machan), Abdul Raafidin Majidi (Nangka), Abun Sui Anyit (Murum), Elia Bit (Marudi), Roland Engan (Telang Usan) dan Paul Baya (Mulu).
- Borneo Post Online
Post a Comment