Beliau kurang patriotik, sensitif terhadap keluarga mangsa pencerobohan Lahad Datu
KUCHING: Larangan masuk ke Sarawak terhadap Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anzwar bukan dilakukan atas pertimbangan politik, tetapi lebih kepada kurang patriotik dan sensitif terhadap keluarga mangsa insiden pencerobohan Lahad Datu, Sabah.
Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) Sarawak Abdullah Saidol berkata tindakan Nurul itu sebenarnya seakan-akan mengundang untuk mengenakan larangan masuk ke negeri ini.
“Malangnya, Nurul Izzah telah mengambil sikap untuk kurang sensitif terhadap beberapa perkara dan kita anggap perlakuan dan tindakan beliau tidak patriotik.
“Kalau Sabah ambil tindakan sama apa salahnya kita. Mangsa (insiden pencerobohan Lahad Datu) juga dari Sarawak, seorang pegawai polis,” katanya pada sidang media di Dewan Undangan Negeri di sini, semalam.
Antara perwira yang terkorban dalam insiden pencerobohan itu ialah Ketua Cawangan Khas daripada Balai Polis Daerah Semporna ASP Michael Padel dari Serian.
Nurul sebelum ini dilaporkan bertemu dengan anak pemimpin pencerobohan Lahad Datu pada Februari 2013, Jamalul Kiram III, Jacel Kiram.
Pertemuan itu menjadi kontroversi dan gambar pertemuan antara mereka berdua menjadi sebaran umum di pelbagai medium media sosial.
Mengenai dakwaan Nurul yang mengatakan kerajaan negeri menyalahgunakan kuasa sekatan, Abdullah berkata Nurul sepatutnya bertanya diri sendiri adakah kebebasan diberikan kepadanya dimanfaat dengan sebaik mungkin.
“Kerajaan tidak menyalahgunakan kuasa (imigresen), dia perlu faham sensitiviti dan perasaan keluarga mangsa,” katanya.
Nurul dilarang masuk sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching kelmarin untuk menghadiri program politik PKR.
Terdahulu, Persidangan Dewan Undangan Negeri turut memberi penghormatan seketika terhadap mendiang Bernard Then yang dibunuh oleh kumpulan pengganas Abu Sayyaf.
Mendiang merupakan rakyat Malaysia berasal dari Sarawak dan diculik kumpulan tersebut pada November tahun lalu.
- Borneo Post Online
Post a Comment