KUCHING: Pertarungan satu lawan satu membabitkan calon parti pembangkang dan Barisan Nasional (BN) harus dijadikan dasar perjuangan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak Chong Chieng Jen berkata ia penting bagi mengelak berlakunya undi pecah, yang akhirnya akan memberi kelebihan kepada BN.
“Kalau boleh kita mahu pertemuan antara calon parti pembangkang dan BN dalam situasi satu lawan satu…ini penting bagi mengelak undi pecah.
“Perkara ini akan kami (DAP, Parti Keadilan Rakyat dan Parti Amanah Negara) bincangkan dengan teliti pada mesyuarat yang dijadual diadakan selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri nanti,” katanya ketika dihubungi semalam.
Chong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa dan Ahli Parlimen Bandar Kuching menegaskan bahawa pendekatan satu lawan satu penting untuk memastikan BN dapat ditewaskan dengan undi majoriti.
Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai kumpulan pertama calon PKR iaitu seramai 15 orang yang akan bertanding pada PRN akan datang sebagaimana diumumkan Naib Presiden PKR Dr Xavier Jayakumar pada sidang media malam kelmarin (Ahad).
Lima belas calon dan kerusi diumumkan itu merupakan sebahagian daripada jumlah keseluruhan 45 kerusi bakal ditandingi PKR pada PRN kelak dan ada antaranya merupakan kerusi diinginkan DAP, antaranya ialah Batu Kitang, Mambong dan Tupong.
Mengulas lanjut mengenai perkara itu Chong berkata pembahagian kerusi antara parti Pakatan Harapan belum lagi muktamad justeru sebarang kemungkinan boleh berlaku.
“Kita akan berusaha memastikan pertembungan antara satu sama lain di sesebuah konstituensi tidak akan berlaku, demi kepentingan pembangkang secara keseluruhannya.
“Harus diingat ialah musuh utama Pakatan Harapan adalah BN bukannya sesama DAP, PKR dan AMANAH,” ujarnya.
- Borneo Post Online
Post a Comment