Penganalisis: Populariti Najib makin terjejas


SHAH ALAM – Langkah strategik yang diambil Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan ‘mewakilkan’ timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung kontroversi derma RM 2.6 bilion di Parlimen disifatkan silap besar.

Penganalisis politik, Dr Jeniri Amir berpendapat, Najib sepatutnya berani berdepan ahli parlimen dan rakyat menjelaskan isu penuh kontroversi itu kerana tindakannya itu hanya memburukkan lagi keadaan.

“Dalam keadaan sekarang, langkah ini bukan membantu meyakinkan rakyat tetapi mengukuhkan lagi ketidakyakinan rakyat tentang keraguan mereka terhadap isu ini.

“Justeru, ini menjejaskan terus dari segi populariti ranking beliau sebagai perdana menteri. Itu tidak dapat dinafikan. Boleh tanya rakyat, pandangan ini pasti sama dengan pendirian saya,” katanya kepada Sinar Online.

Pada hari terakhir sidang Parlimen sesi kali ini, Ahmad Zahid tampil membacakan satu kenyataan yang telah disediakan berhubung isu derma yang dimasukkan ke akaun Najib tanpa ada sesi perbahasan atau pertanyaan.

Dalam pada itu, Dr Jeniri berkata, kemunculan Ahmad Zahid sama sekali tidak membantu Najib apatah lagi kenyataan itu terlalu ringkas.

“Menteri yang menjaga Parlimen itu berjanji kepada rakyat bahawa Najib akan menjelaskannya dan tiba-tiba diumumkan PM tidak dapat menjawabnya kerana 'sub judice’. Soal ‘sub judice’ ini tidak relevan dalam konteks isu ini.

“Saya fikir rakyat tidak percaya dengan alasan itu. Lebih-lebih lagi penjelasan itu hanya beberapa minit, jadi, mana mungkin rakyat boleh percaya penjelasan yang pendek itu?

"Rakyat mengharapkan penjelasan yang komprehensif dan menyeluruh jadi, dengan jawapan yang seringkas itu, saya fikir lebih banyak soalan daripada jawapan. Rakyat makin meragui dan mempertikaikan dari segi kewibawaan,” katanya.

Sementara mengulas soal kemungkinan isu sama akan dibangkitkan dalam Perhimpunan Agung Umno minggu depan oleh perwakilan, Dr Jeniri berkata mahu atau tidak Umno harus mengamalkan prinsip dan dasar demokratik.

“Harus memberi ruang secukupnya untuk pemimpin dan ahli akar umbi untuk bersuara. Kalau ruang untuk berbicara bagi mengungkapkan apa yang terbuku di fikiran dan kalbu mereka sudah tertutup, ini akan menimbulkan masalah lebih besar.

“Jangan fikir dengan menutup isu ini iaitu dengan tidak membenarkan ahli dan pemimpin akar umbi dari mana-mana bahagian untuk bercakap, memperkatakan dengan sebenar-benarnya pandangan mereka, jangan fikir ini boleh menyelamatkan pimpinan atasan,” katanya.

Katanya, Najib perlu menggunakan ruang ini sebaiknya untuk menjelaskan kepada ahli-ahli Umno termasuk menangkis segala salah faham atau tuduhan yang dibuat ke atasnya.

“Bukan sahaja untuk jelaskan tapi menggunakan peluang terbaik itu untuk menangkis segala salah faham, tuduhan-tuduhan, fitnah-fitnah...kalau ada lah...dan segala kenyataan tidak benar berkaitan dengan isu itu.

“Beliau banyak sangat peluang dan ruang untuk jelaskan sebelum ini. Jadi, hanya dengan cara itu sahaja beliau akan mendapat keyakinan daripada ahli Umno. Paling penting untuk beliau terlebih dahulu mendapat keyakinan daripada pimpinan Umno peringkat cawangan dan bahagian,” katanya.

- Sinar Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget