Misi menang besar



KUCHING: Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak bersedia sepenuhnya untuk memastikan kemenangan besar berpihak kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Ketua Pemuda PBB Datuk Seri Fadillah Yusuf berkata pihaknya mengambil serius perkara itu bagi mencapai matlamat utama parti.
Katanya, persiapan awal Pemuda PBB telah dibuat dalam usaha memperhalusi setiap gerakan sepanjang sesi PRN lalu.

“Kita sememangnya sudah bersedia sejak awal dalam memastikan matlamat memberi kemenangan besar kepada BN Sarawak tercapai.
“Oleh itu, setiap gerak langkah kita akan terus diperkemaskan dan dihalusi sebelum berdepan pilihan raya nanti selaras dengan dasar memberi khidmat terbaik kepada masyarakat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pergerakan Pemuda PBB di Ibu Pejabat PBB Sarawak di sini, semalam.

Fadillah berkata, pihaknya menyusun program untuk dilaksanakan mulai Januari depan dan ia bukan memfokuskan kepentingan parti, tetapi kebajikan rakyat.

“Setakat ini, kita (Exco Pemuda PBB) sudah memulakan kutipan dana untuk disumbang kepada keluarga mangsa kebakaran membabitkan rumah panjang di Belaga,” katanya.

Kutipan dana itu akan digerak pada mesyuarat akan datang bagi menambah jumlah terkumpul sebelum diserah kepada wakil keluarga mangsa kebakaran untuk diagihkan.

Berhubung penambahan 11 kerusi baharu DUN pada PRN akan datang, Fadillah berkata Pemuda PBB akan menerima apa sahaja keputusan Ketua Menteri dalam menentukan bilangan calon komponen itu.

Katanya, pihaknya berserah kepada budi bicara pemimpin negeri itu, namun bersedia menghantar lebih ramai calon untuk bertanding jika diperlukan.
“Saya difahamkan sekurang-kurangnya seorang muka baharu dalam kalangan Pemuda PBB akan bertanding di kawasan baharu itu.

“Sebelum ini saya ada mendapat berita yang mengatakan ada tambahan kepada dua orang, namun ia belum diketahui lagi,” jelasnya.

Beliau berkata, pihaknya amat bertuah sekiranya dibenarkan menghantar lebih daripada seorang calon kerana Pemuda PBB merupakan kumpulan komited berkhidmat kepada rakyat.

“Apapun ia terletak kepada budi bicara Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem menentukan yang terbaik secara keseluruhan,” ujarnya.

Beliau menegaskan Pemuda PBB tidak mengamalkan budaya meminta dalam parti malah hanya kekal dengan matlamat pergerakan.

Ditanya sama ada beliau akan bertanding di PRN depan, Fadillah menafikan perkara itu kerana masih menjadi Ahli Parlimen.

“Tidak mungkin saya akan bertanding dalam PRN kerana Ahli Parlimen tidak boleh bertanding di kerusi DUN,” katanya. - Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget