Kerjasama UMNO-Pas tidak mungkin terjalin


KUALA LUMPUR: Usaha UMNO menjalinkan kerajasama dengan Pas tidak akan terjalin dalam bentuk politik atas sebab tidak sehaluan dengan dasar tertentu.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata demikian kerana percaya UMNO tentunya tidak akan menyokong pelaksanaan Hudud yang sedang diperjuangkan Pas.

Ini kerana UMNO yang menjadi tulang belakang Barisan Nasional (BN) tentunya tidak akan mengkhianati MCA dan Gerakan yang secara terang-terangan menentang Hudud.

“Secara rasmi, saya kira UMNO tidak akan setuju dengan pelaksanaan Hudud yang dikehendaki Pas.

“UMNO adalah tulang belakang kepada BN. Dalam BN ada Gerakan dan MCA, maknanya saya tak percaya UMNO sedia hancurkan BN disebabkan isu Hudud.

“Oleh itu, saya rasa jalinan secara politik tidak akan berlaku,” katanya kepada FMT di Kelab Sultan Sulaiman.

Ibrahim Ali sebelum itu hadir dalam Persidangan Wira Perkasa Malaysia bersempena Persidangan Agung Perkasa Malaysia 2015, pada Sabtu di ibu negara.

Ibrahim Ali juga berpendapat Pas seolah-olah mahu menguji hati budi UMNO dalam menerima Hudud.

Pas, katanya bijak menggunakan UMNO di saat parti Melayu itu sedang mengalami krisis kepimpinan parti.

“Pas nak uji hati budi UMNO dalam isu hudud. Pas menunjukkan kemesraan kepada UMNO sebab Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak lemah.

“Dengan harapan dapat sokongan UMNO untuk Hudud. Ini permainan politik jangka pendek,” jelasnya lagi.

Justeru itu, Ibrahim yakin Pas dan UMNO hanya mampu mewujudkan perpaduan dalam bentuk hubungan sillatulrahim dan bukan politik.

“Sekiranya mereka mahu mewujudkan satu jawatankuasa bagi membincangkan isu-isu luar politik boleh. Misalnya membincangkan peranan dan kepentingan kaum Melayu Islam, saya kira boleh,” katanya.

- Free Malaysia Today

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget