Kerajaan BN laksana pelbagai projek: Wong

Hanya BN mampu salur bantuan kepada rakyat


SIBU: Kerajaan Barisan Nasional (BN) menerusi wakil rakyatnya membawa banyak pembangunan dan kemajuan untuk kawasan Sungai Sebedil, Batang Igan sepanjang 2015.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.47 Bawang Assan, Dato Sri Wong Soon Koh memberitahu, kerajaan melaksanakan pelbagai projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP), Projek Infrastruktur Asas (PIAS) dan Marris di Sungai Sebedil dan kawasan sekitar.

“Ini membuktikan bahawa kerajaan BN di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem sahaja boleh menyalurkan bantuan dan pembangunan termasuk memperbaiki infrastruktur asas untuk penduduk rumah panjang.

“Saya minta semua penduduk terutama penduduk di Sungai Sebedil supaya terus memberi sokongan kepada kerajaan BN,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Henry Barayan, Sungai Sebedil, Batang Igan, petang semalam.

Hadir sama ialah dua Setiausaha Politik Ketua Menteri Andrew Shilling Banggit dan Romeo Christopher Tegong, Tememggung Stanley Geramong, Penghulu Jeffery Sut, Tuai Rumah Henry Barayan serta yang lain.

Wong juga Menteri Kewangan Kedua berkata, kerajaan melaksana projek menaik taraf Jalan Rumah Braoh dengan kos RM400,000 di bawah projek RTP, RM200,000 di bawah PIAS dan RM500,000 lagi di bawah Marris.

“Kerajaan melalui projek PIAS juga telah memperuntuk sejumlah RM200,000 membina jalan menuju ke Rumah Bedindang dan Rumah Bosco.

“Ini menunjukkan betapa prihatinnya kerajaan BN terhadap rakyat terutamanya di kawasan luar bandar,” katanya sambil menambah sejumlah RM50,000 juga telah diperuntuk bagi membina pontun di Rumah Bosco dan Rumah Balon.

Pada tahun 2016 ujar beliau, kerajaan memperuntuk RM300,000 untuk membina Jambatan Sungai Sebedil bagi kegunaan penduduk Rumah Braoh.

Kerajaan katanya, juga mencadang peruntukan sebanyak RM200,000 projek RTP pada 2016 bagi menaik taraf Jalan Sungai Sebedil menuju ke ladang sawit berhampiran, selain RM750,000 dicadang melalui projek RTP pada tahun 2017 untuk kegunaan pembinaan infrastruktur dan kegunaan asas yang lain di Sungai Sebedil.

“Dalam Rancangan Malaysia Kesebelas, peruntukan sebanyak RM100 juta akan diperuntukkan bagi membina jalan Tanjung Kibong, Tutus, Sebedil dan Kampung Bungan Kecil,” ujar Wong yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti.

Wong juga berharap penduduk di Sungai Sebedil terus memberi sokongan kepada beliau semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang. Pada PRN yang lepas, beliau yang mewakili BN memperolehi 98 peratus undi.

“Saya akan berusaha lebih keras mempastikan lebih banyak projek infrastruktur dan kemudahan asas yang lain ke kawasan ini,” tambah beliau.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget