Polis hari ini mengambil keterangan daripada Tian Chua berhubung pertemuan kontroversi Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar dengan Jacel Kiram, anak perempuan bekas ketua pengganas yang menceroboh Lahad Datu, Sabah pada 2013.
Ahli Parlimen Batu itu hadir di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bersama peguamnya, R Sivarasa serta beberapa penyokong kira-kira 11.30 pagi untuk memberi keterangan berhubung perkara itu.
Bercakap kepada pemberita kemudian, Tian Chua berkata beliau memberi sepenuh kerjasama kepada polis bagi menjalankan siasatan.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan) Bukit Aman Datuk Amar Singh Ishar Singh ketika dihubungi mengesahkan pihaknya mengambil keterangan daripada Tian Chua.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 124L Kanun Keseksaan kerana cubaan sabotaj," katanya.
Jacel memuat naik 4 keping gambar pertemuan 9 November itu dalam akaun Facebooknya, sekali gus mengundang kemarahan pelbagai pihak di negara ini.
Perbuatan itu menimbulkan kemarahan rakyat Sabah dan keluarga mangsa yang terkorban di Lahad Datu sehingga persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah pada 26 November lepas meluluskan usul menghalang beliau serta Nurul Izzah daripada memasuki negeri itu. – Bernama
Post a Comment