PETALING JAYA - Jabatan Imigresen sentiasa memperketatkan kawalan sempadan negara bagi memastikan tiada individu yang dipengaruhi fahaman radikal dan ekstremis bolos masuk untuk melakukan kekacauan di negara ini.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mustafa Ibrahim menegaskan, pihaknya juga tidak berkompromi membenarkan rakyat asing yang ‘berisiko’ masuk ke negara sekiranya mendapat maklumat awal tentang perkara.
Katanya, maklumat daripada pelbagai agensi khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah yang paling penting dalam mengekang kemasukan individu berkenaan.
“Pegawai imigresen sebenarnya tidak mempunyai kuasa untuk menahan warga asing atau penduduk negara di pintu-pintu masuk negara tetapi jangan ingat mereka ini boleh lepas dan masuk ke dalam negara begitu sahaja kerana kerjasama antara kami dan PDRM begitu erat.
“Malah di setiap lapangan terbang, PDRM menempatkan pegawai-pegawai mereka yang digelar ‘travelling control officer’ atau TCO untuk memberi nasihat dan rujukan.
“Setakat ini, tiada pembolosan individu berfahaman ekstremis termasuk pengganas Negara Islam (IS) bolos masuk,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Perkhidmatan Bakat Ekspatriat Malaysia (MyXpats Centre), di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang kemasukan golongan pendakwah asing ke negara ini tanpa sekatan yang turut menjadi faktor penyumbang kepada perkembangan kegiatan militan.
Mustafa memberitahu, pihaknya sememangnya bergantung kepada maklumat daripada PDRM untuk mengesan individu berisiko masuk ke negara ini.
Kata beliau, setiap senarai nama atau identiti individu yang disalurkan kepada imigresen akan diberikan perhatian yang serius.
“Kami ambil perhatian terhadap maklumat yang diberikan polis untuk tindakan seperti senarai hitam atau dilarang mendarat.
“Malah setakat ini, kerjasama antara kedua-dua agensi ini amat baik khususnya dalam membendung aktiviti IS,” jelasnya.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan, kemasukan individu tertentu termasuk pendakwah asing tanpa sekatan secara tidak langsung membuka peluang kepada perkembangan aktiviti militan menerusi pelbagai saluran.
Menurut Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, kerenah birokrasi yang menghalang atau menolak siasatan awal oleh polis menyebabkan pihak berkuasa hanya mampu memerhati dan mengumpul bukti sehingga tangkapan boleh dibuat.
- Utusan Online
Post a Comment