KUCHING: Dua Ahli Parlimen DAP Sarawak hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menyertai perhimpunan haram Bersih 4 di sini, Ogos lalu.
Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen, yang juga Ahli Parlimen Bandar Kuching dan Ahli Parlimen Stampin, Julian Tan Kok Ping didakwa menyertai perarakan haram itu dari hadapan Hotel Hilton Kuching di Jalan Borneo hingga ke padang Song Kheng Hai, di sini.
Kedua-dua mereka didakwa melakukan kesalahan itu bersama beberapa orang yang masih bebas antara jam 2 hingga 3 petang, 29 Ogos lepas.
Dalam prosiding berkenaan, Hakim Amelati Parnell menetapkan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan 14 Januari depan bagi semula sebutan kes.
Mahkamah turut menetapkan pendengaran kes pada 3 dan 4 Mac depan.
Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Iskandar Ahmad, Muhammad Taufik Md Yusuf dan Poh Yih Tinn manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Chong Siew Chiang. -BERNAMA
Post a Comment