BNBBC komited pastikan BN menang besar PRN


KUCHING: Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) Sarawak memberi komitmen untuk bersama memastikan bukan sahaja kemenangan tetapi kemenangan besar kepada BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, yang dijangka selewat-lewatnya Jun tahun depan.

Pengerusi BNBCC Sarawak Abdullah Saidol berkata, ia sebagai sokongan besar ahli kelab bagi memberi mandat kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem dalam meneruskan agenda pembangunan kepada rakyat Sarawak.

“Kita tahu semasa dalam Persidangan DUN tidak semua daripada ahli kelab dapat membalas dan menangkis perkara yang dikatakan pembangkang, yang mana kita berusaha sebaiknya.

“Namun kami tahu ia mungkin tidak mencukupi dan kami BNBCC akan menunjukkan sokongan besar dan mandat kepada Yang Amat Berhormat Ketua Menteri untuk meneruskan agenda pembangunan seperti yang dirancang terutama bagi kawasan luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam BNBBC bertemakan Down Memory Lane yang dihadiri Adenan dan isteri Datin Patinggi Datuk Jamilah Anu serta Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang serta menteri kabinet lain di sini, malam kelmarin.

Abdullah berkata, memandangkan Persidangan DUN yang bermula 8 hingga 16 Disember itu merupakan yang terakhir sebelum PRN diadakan, beliau berasakan kesemua calon BN sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab masing-masing.

Ia katanya, bagi memastikan keinginan Ketua Menteri untuk memberi peluang lima tahun lagi dan memberi kemenangan besar kepada BN termasuk kemenangan bagi 11 kerusi baharu.

“Saya berasakan kami semua dapat melakukannya dan percaya kami dapat melakukan perkara ini… namun kepada rakan-rakan khasnya wakil rakyat senior yang bersara daripada arena ini, kami berasa amat sedih.

“Namun kami berterima kasih kepada mereka yang berpengalaman ini atas panduan dan nasihat kepada kami khasnya wakil rakyat baharu,” katanya.

Mengenai Persidangan DUN yang berlangsung katanya, pelbagai isu dan perkara yang dibangkitkan pembangkang harus ditangkis oleh ahli kelab.

Abdullah berkata pelbagai perkara yang dipelajari ahli kelab dan menerima teguran daripada menteri serta menteri muda yang mahukan ahli kelab lebih agresif dalam cara menekankan isu yang dikatakan pembangkang.

“Mungkin kita semua di BNBBC sepatutnya lebih berani membidas setiap perkara yang dibangkitkan oleh pembangkang bukan hanya semata-mata untuk kita menceritakan perkara berkaitan isu

“BNBBC akan meneruskan bukan sahaja kemenangan besar dalam politik tetapi agenda pembangunan selain menuntut hak-hak kita di bawah Perjanjian Malaysia,” katanya.

- Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget