AMPANG JAYA : Perhimpunan ‘Selamatkan Negeri Selangor Daripada Kerajaan Pakatan Caca-marba’ akan tetap diteruskan pada Ahad ini walaupun tidak mendapat permit daripada pihak berkuasa.
Pengerusi Gabungan NGO Melayu Malaysia, Datuk Jamal Md Yunos berkata, mendapat kelulusan untuk mengadakan perhimpunan itu bukan urusan mereka kerana ia tanggungjawab pihak polis.
“(Memperoleh kelulusan) itu kerja polis. Biar dia buat kerja, kami bawa suara rakyat. Polis ada tanggungjawab dan kami juga ada tanggungjawab.
“Saya tidak berniat untuk mencabar polis atau pihak berkuasa cuma mahu beritahu, 18 Oktober ini kami tetap adakan himpunan itu,” katanya kepada pemberita di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya.
Jamal yang juga Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar berkata, perhimpunan itu diadakan ekoran pelbagai masalah tidak berkesudahan di Selangor khususnya masalah denggi, sampah dan lif rosak di kawasan rumah pangsa yang tidak diselenggara.
“Itu merupakan sebab untuk kami mengadakan himpunan ini,” katanya.
Jamal mensasarkan kira-kira 5,000 peserta akan menyertai himpunan yang akan diadakan di Bandar Baru Ampang itu.
Bukan itu sahaja, Jamal juga bercadang mengadakan himpunan yang sama di dua kawasan yang lain iaitu Kelana Jaya dan Subang.
“Himpunan ini dijangka diatur dalam masa enam bulan akan datang,” ujarnya.
- Free Malaysia Today
Post a Comment