Tiada jaminan menang mudah, kata Sylvester


MIRI: Berdiri atas tiket Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya, bukan jaminan untuk seseorang calon akan menang pilihan raya dengan mudah.
Menteri Muda Kemudahan Awam (Bekalan Air) Datuk Sylvester Entri Muran berkata, ia telah dibukti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lepas, menyaksikan sendiri bahawa Timbalan Ketua Menteri dan muka baharu dicalonkan BN boleh kalah serta tumbang di tangan pembangkang.
Sebaliknya menurutnya, calon BN hendaklah seseorang yang mempunyai keyakinan, hasil daripada kepercayaan dan mandat rakyat sendiri.
Beliau mengingatkan bahawa rakyat dan BN sendiri perlu mengambil iktibar atas kekalahan dialami bekas Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan, Timbalan Presiden SPDP Datuk Peter Nyarok Entrie, muka baharu Willie Liaw daripada SPDP dan beberapa calon BN lain yang tewas pada PRN lepas.
“Tanggapan bahawa sesiapa pun calon, asal berdiri atas tiket BN boleh menang, tidak boleh diguna pakai lagi, memandang Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem memberi bayangan mahu calon boleh menang dengan melihat sendiri realiti berlaku di peringkat akar umbi,” jelas beliau.
Entri berkata demikian semasa berucap merasmi Kempen Keselamatan Kebakaran di Rumah Berauh, sepanjang 110 pintu, di Sungai Entulang, Bakong, kira-kira sejam perjalanan dari sini, baru-baru ini.
Majlis turut dihadiri kira-kira 30 tuai rumah panjang di kawasan Bakong Hilir.
Adenan semasa berucap merasmi pelancaran kadar baharu tambang feri RM1 di Marudi pada 28 Mei lalu, pernah menyatakan bahawa beliau tidak melihat sesiapa lagi yang layak bertanding di Marudi selain penyandang sedia ada (Entri).
Sementara itu, Entri memberitahu isu berkaitan calon (di Marudi) wajar diketepi dan diserah kepada pucuk pimpinan.
Malah beliau kini lebih menumpu kepada perjuangan memberi khidmat terbaik kepada rakyat di kawasannya dan telah dibukti selama ini.
Tambahnya, untuk membuktikan komitmen dan amanah kerajaan terhadap wakil rakyatnya, Entri memberitahu, beliau dan Ahli Parlimen Baram Anyi Ngau telah diberi peruntukan berjumlah RM7.1 juta oleh kerajaan BN pada tahun ini, bagi konstituensi Marudi untuk melaksanakan pelbagai projek pembangunan, infrastruktur dan sebagainya.
Mengenai Kempen Keselamatan Kebakaran di Rumah Berauh, Entri memberitahu tujuan utama kempen itu ialah meningkatkan kesedaran dalam kalangan penduduk rumah panjang tentang bahaya kebakaran dan mengajak mereka mengamal kaedah selamat termasuk mengelak kebakaran. -Borneo Post.

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget