Sekadar tempat berteduh daripada panas dan hujan


PAS Miri gesa ibu tunggal ini dibantu segera
MIRI: Ketika orang ramai sibuk membuat persiapan raya, lain pula cerita seorang ibu tunggal yang mengharapkan kerajaan membantu menyediakan sebuah rumah selesa dan selamat untuk keluarganya.
Raba’ah Bujang, seorang ibu tunggal tinggal bersama enam anaknya di sebuah rumah kecil yang serba usang dan hanya menunggu masa untuk roboh.
Keluarga itu tinggal di rumah beralamat Tudan Fasa 5 di Lot 471 kerana tidak berkemampuan menyewa meskipun rumah yang mereka tinggal ketika ini teramat usang.
Ketua PAS Miri Jofri Jaraiee berkata, keluarga itu amat  memerlukan bantuan daripada agensi kerajaan berkaitan bagi membina semula rumah mereka yang usang.
“Kami berharap agar rumah Raba’ah dibina dengan struktur lebih kukuh atau sekurang-kurangnya mereka menerima bantuan daripada Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT),” katanya.
Menurutnya, orang awam yang sudi menderma dan membantu keluarga ini boleh terus menyumbang kepada keluarga berkenaan di alamat Lot 471 di Tudan Fasa 5, Miri.
“Sekali lagi kami menggesa agensi kerajaan berkaitan agar segera datang melawat dan membantu membina semula rumah tersebut demi keselamatan penghuni yang tinggal di dalam rumah kecil itu,” jelasnya.
Di samping itu, Jofrie berkata kerajaan harus mengawal harga rumah bagi memastikan golongan kurang berkemampuan dapat memiliki rumah yang selesa dan selamat.
Ini kerana katanya, masih ramai golongan terbabit tidak memiliki rumah sebaliknya terpaksa tinggal dalam rumah kecil atau pondok untuk berlindung daripada panas dan hujan.
“Kerajaan harus memikirkan nasib golongan berpendapatan rendah yang tidak memiliki rumah serta menyediakan bantuan sewajarnya bagi memastikan nasib golongan itu tidak terabai,” katanya.-Borneo Post
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget