Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Torstein Dale Sjotveit berkata, bagi tujuan tersebut, syarikat terbabit telah bekerjasama dengan perunding antarabangsa yang terkenal untuk membincangkan perancangan, reka bentuk dan pelaksanaan projek hidro yang dibina di negeri ini.

Katanya, mereka juga bekerjasama dengan pakar tempatan, jabatan dan agensi berkaitan dalam proses yang sama.

“Dalam isu keselamatan empangan berkaitan gempa bumi misalnya, kita akan terus memberi kefahaman kepada orang awam yang prihatin mengenai aktviti pembangunan yang dijalankan oleh SEB.

“SEB juga bekerjasama dengan Jabatan Mineral dan Geosains Sarawak dalam perkongsian maklumat dan nasihat yang diambil kira dalam pembangunan projek,” katanya berucap dalam Majlis Ramadan Iftar Bersama Media di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini semalam.

Dalam majlis itu, seramai 35 kanak-kanak daripada Rumah Amal Nur Murni diraikan termasuklah menaja baju raya melalui Program Syukran Ramadan yang dibuat hasil sumbangan persendirian warga SEB.

Mengulas lanjut, Torstein berkata, hubungan SEB dan jabatan terbabit sudah terjalin lama dan akan diteruskan dalam kolaborasi sokongan bagi kajian lanjut meningkatkan maklumat seismik.

“Pembangunan tenaga hidro dianggap masih baharu di Sarawak namun di negara maju seperti Norway, Amerika Syarikat dan Kanada, ia telah terbukti sebagai model pembangunan terbaik yang mentransformasikan negara berkenaan.

“Jadi, kita telah bertemu dengan pakar dari negara-negara ini untuk mempelajari kejayaan mereka seterusnya dapat mentransformasikan kepakaran mereka di negeri ini,” ujarnya.

Beliau memberitahu, ketika ini, tiada tenaga elektrik tambahan di Sarawak walaupun terdapat permintaan banyak tenaga dipacu daripada Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (Score) termasuk perkembangan ekonomi yang kukuh.

Katanya, kekuatan permintaan terhadap tenaga elektrik menyebabkan SEB tidak dapat memberikan perkhidmatan tenaga kepada semua pelanggan yang berminat melabur di negeri ini.

Tambahnya, penangguhan lebih lama pembangunan tenaga hidro akan menyebabkan banyak pelabur dan peluang pekerjaan disia-siakan. -Utusan.